Saturday, April 25, 2009

IJTIHAD DALAM KONTEKS SEMASA

PENDAHULUAN

Segala puji bagi Allah SWT dan Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam. Bersyukur juga ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya dapat kami menyediakan kertas kerja ini yang membincangkan tentang ijtihad.

Ijtihad merupakan salah satu cara perolehan hukum Syarak dan ia merupakan nadi kepada persoalan fiqh khususnya persoalan yang tiada di dalam nas. Ijtihad adalah elemen yang sangat penting dalam persoalan fiqh kerana dari semasa ke semasa, persoalan berkaitan fiqh sentiasa berkembang dengan pertambahan bilangan manusia ditambah pula dengan kehidupan masyarakat yang semakin moden pada masa kini.

Oleh itu, ijtihad amat diperlukan pada masa kini kerana munculnya pelbagai masalah dan persoalan- persoalan yang baru yang tiada dalam nas dan tidak berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Perkembangan fiqh membuka ruang kepada ijtihad dan memerlukan para mufti bagi mengeluarkan fatwa kepada masyarakat dalam permasalahan yang berkaitan dengan perkara- perkara baru.

Justeru itu, perbincangan tentang ijtihad amat penting kerana setiap hari masyarakat akan bertanya permasalahan baru yang mereka tidak tahu kepada mufti atau Majlis Fatwa. Oleh itu, kami bincangkan persolan ijtihad di dalam kertas kerja ini.

DEFINISI IJTIHAD

Ijtihad dari sudut bahasa membawa beberapa erti iaitu: (Abd Karim Zaidan 1976 : 401)

i) Ijtihad berasal dari perkataan ijtahada ((اجتهد yang bermaksud menggunakan tenaga sepenuhnya.

ii) Bersungguh-sungguh dalam sesuatu perbuatan atau pekerjaan.

iii) Menggunakan segala kemampuan.

Ijtihad dari sudut istilah pula membawa kepada beberapa maksud seperti :

i) Menurut pengertian ulama usul adalah mencurahkan sepenuh tenaga dan sebanyak mungkin untuk mendapatkan hukum syarak yang berbentuk amali dengan cara istinbat daripada dalil-dalil dan hukum syarak.

ii) Mencurahkan segala tenaga untuk mendapatkan hukum syarak daripada sesuatu dalil yang terperinci atau tafsili dari dalil-dalil syariat.

iii) Usaha seorang mujtahid dengan mengerah segala kemampuan yang ada untuk memperoleh hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf melalui cara yang ditetapkan oleh syarak. (Ibid : 256)

Berdasarkan pengertian tersebut dapatlah dirumuskan bahawa ijtihad yang dimaksudkan di sini adalah mencurahkan segala akal fikiran dan kesungguhan untuk mendapatkan sesuatu hukum syarak mengenai sesuatu masalah dengan jalan istinbat daripada al-Quran dan Hadis. Lapangan ijtihad pula mestilah kejadian yang tiada nas syarak yang jelas hukumnya. Manakala mujtahid pula ialah ahli fekah yang mencurahkan segala kesungguhan dan ketekunan untuk mendapatkan hukum syarak daripada sesuatu dalil terperinci atau tafsili dari dalil-dalil syariat. (Ibid : 402)


HUKUM BERIJTIHAD DAN SEJARAHNYA

Ulama bersepakat mengatakan harus ijtihad dalam mengeluarkan sesuatu hukum apabila cukup syarat tertentu. Berkenaan hukum harus dan sejarah bermulanya ijtihad ulama berdasarkan dalil hadis Muaz Bin Jabal ketika beliau di utuskan menjadi wakil di Yaman. (Abd Latif Muda 1997: 257)

ما روى أن النبى (ص) قال لمعاز : بما تحكم ؟ قال : بكتاب الله تعالى. قال : فان لم تجد ؟

قال : بسنة رسول الله (ص). قال : فان لم تجد ؟ قال : أجتهد رأيى ولا آلو. فقال النبي عليه السلام :

الحمدلله الذى وفق رسول الله (ص) لما يحبه ويرضاه رسول الله..

Maksudnya :

Bagaimanakah nanti engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa kepada engkau sesuatu permasalahan? Muaz menjawab “saya akan memutuskan hukum berdasarkan Kitab Allah” Nabi bertanya lagi, “Sekiranya kamu tidak dapati dalam Kitab Allah?” Jawab Muaz “Saya akan memutuskan berdasarkan sunnah Rasul-Nya” Tanya Nabi lagi “Sekiranya engkau tidak menemuinya dalam Sunnah?” Muaz menjawab “Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut. Nabi pun menepuk dada sambil bersabda “Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq kepada utusan Rasulullah ke arah sesuatu yang diredhai oleh Rasullullah. (Ahmad dan Abu Daud)

Melalui ijtihad, hukum Islam akan terus berkembang, sesuai dengan tempat, masa dan keadaan. Selain itu, dengan ijtihad juga terbentuknya qiyas dan ijmak ulama. Antara dalil ijtihad diharuskan dalam Islam adalah :

فأعتبروا يأولى الأبصر (Surah al-Hasyr:2)

Maksudnya:

Maka insaflah dan ambilah pelajaran (daripada peristiwa itu) Wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.

Sabda Nabi :

اذا اجتهد الحاكم وأصاب فله أجران واذا اجتهد فأخطأ فله أجر واحد

Maksudnya :

Apabila seseorang hakim menjatuhkan hukuman lalu ia berijtihad dan didapati yang ia ijtihadkan itu benar, maka ia mendapat dua pahala, sekiranya pula ia menjatuhkan hukuman dan berijtihad serta salah, maka ia mendapat satu pahala. (Bukhari dan Muslim)

PERINGKAT HUKUM BERIJTIHAD

Berdasarkan tuntutan dan dalil syarak yang menggalakkan seseorang berijtihad, namun ulamak membahagikan pula tuntutan ijtihad itu kepada jenis dan bahagian berikut:

Ijtihad Fardhu Ain

Ijtihad fardhu ain ialah ijtihad yang wajib dilakukan oleh seseorang atau individu yang mempunyai kemampuan dan kelayakan berijtihad serta tidak ada orang lain lagi selain dirinya untuk menyelesaikan masalah dan perkara yang berkaitan dengan masalah hukum, sama ada yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah dirinya sendiri mahu pun masyarakat. Justeru itu ijtihad peringkat ini dapat dibahagikan pula kepada dua bahagian :

i) Ijtihad yang dilakukan oleh seseorang mujtahid terhadap sesuatu hukum dan permasalahan yang ditanya atau dalam bentuk menjelaskan pertanyaan yang diajukan oleh masyarakat atau individu lain dan tidak ada orang lain yang layak berijtihad kecuali dirinya sahaja. Maka ketika itu, berijtihad adalah fardhu ain terhadap dirinya.

ii) Ijtihad yang dilakukan oleh seseorang mujtahid dalam sesuatu masalah hukum untuk dirinya sendiri atau tanpa sebarang pertanyaan oleh masyarakat dan individu lain. Antara lain juga ia adalah layak berijtihad dan digelar mujtahid, maka dalam keadaan itu berijtihad untuk dirinya adalah fardhu ain. (Ibid : 259)

Ijtihad Fardhu Kifayah

Ijtihad fardhu kifayah pula ialah ijtihad yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kelayakan untuk berijtihad, namun begitu selain dirinya masih ada lagi orang yang berkelayakan untuk berijtihad bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan hukum. Oleh itu, waktu itu berijtihad adalah menjadi fardhu kifayah terhadap dirinya dan apabila dia yakin ada orang lain yang masih mampu menyelesaikan masalah hukum. Oleh itu, ijtihad bahagian ini juga dapat dibahagikan kepada dua bahagian:

i) Seseorang mujtahid yang diajukan atau ditanya tentang hukum sesuatu permasalahn dan masih ada orang lain atau mujtahid lain yang mampu berijtihad sepertinya. Walaupun begitu, sekiranya ia meninggalkan ijtihad itu atau tidak menyelesaikan masalah itu tidak ada orang yang akan berijtihad. Maka waktu itu berijtihad untuk mewakili mujtahid lain adalah fardhu kifayah baginya.

ii) Seseorang mujtahid yang ragu-ragu dengan ijtihad mujtahid lain dan ia cukup syarat sebagai mujtahid, maka ketika itu menjadi fardhu kifayah baginya untuk berijtihad terhadap hukum dan permasalahan yang diraguinya itu. (Ibid : 260)

Ijtihad Sunat

Ijtihad sunat ialah ijtihad untuk menyelesaikan masalah hukum hakam yang mana ijtihad itu dilakukan oleh seseorang yang memenuhi syarat berijtihad untuk menyelesaikan terhadap perkara dan masalah yang akan berlaku. Ijtihad sunat ini juga dapat dibahagikan kepada dua bahagian:

i) Seseorang mujtahid yang berijtihad dalam sesuatu masalah yang ditanya oleh individu atau masyarakat mengenai hukumnya, namun perkara dan permasalahan yang ditanya itu belum berlaku dan tidak wujud ketika itu.

ii) Seseorang mujtahid yang berijtihad tentang sesuatu masalah dan hukum yang belum berlaku atau tidak berlaku yang mana ia berijtihad atas dasar inisiatif dirinya dan semata-mata berijtihad tanpa apa-apa faktor atau sebab. (Ibid : 261)

Ijtihad Haram

Ijtihad haram pula ialah segala ijtihad yang dilakukan oleh seseorang dengan cara yang bercanggah atau tidak memenuhi syarat mujtahid serta bercanggah dengan nas. (Ibid : 261)

MARTABAT IJTIHAD

Berdasarkan ijtihad ulama dan mujtahid tersebut, dapatlah dibahagikan pula kepada empat peringkat tertentu, iaitu :

Ijtihad Mutlak

Ijtihad mutlak ini merupakan ijtihad peringkat pertama dan paling tinggi. Ia membawa maksud ijtihad yang dilakukan oleh seseorang mujtahid dengan berasaskan sumber dan dalil hukum secara langsung yang asal iaitu al- Quran dan hadis. Mereka kemudiannya membawa dalil hukum furuc melalui : Istihsan, Masalih Mursalah serta Sadd al- Zara’i.

Sebagai kesimpulannya, ijtihad atau mujtahid peringkat ini menggunakan segala pendalilan dan istinbat hukum secara bebas tanpa berpegang kepada mana- mana iman. Mereka contohnya : Para sahabat seperti Abu Bakar dan Umar, Tabi’in seperti Said bin Musayyab dan Ibrahim al- Nakha’i serta fuqaha mazhab seperti Imam Malik bin Anas, Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie. (Yusuf al- Qardawi 1987 : 95)

Ijtihad Muntasib

Ijtihad Muntasib merupakan ijtihad peringkat kedua. Ia bermaksud ijtihad yang dilakukan oleh seseorang dengan berasaskan kepada pendapat Imam mazhab tertentu. Mujtahid peringkat ini hanya mengikuti Imam mazhab mereka dalam perkara usul dan pokok sahaja. Manakala dalam perkara furuc atau pecahan, mereka berselisih dengan Imam yang mereka ikuti. Contohnya ijtihad Abu Yusuf dan Muhammad bin al- Hassan daripada pengikut Imam hanafi. (Ibid : 95)

Ijtihad Dalam Mazhab

Ijtihad peringkat ini merupakan ijtihad dan mujtahid martabat ketiga, iaitu ijtihad yang dilakukan yang berasaskan pendapat Imam mazhab yang mereka ikuti perkara asal furuc. Dalam keadaan lain, ijtihad dalam mazhab ini, mujtahid mengetahui dan menemui dalil yang menjadi asas pegangan Imam mazhab dan mereka berkemampuan untuk memilih dan mentakhrijkan atau mengeluarkan pendapat-pendapat Imam mereka yang berbagai jenis. Dalam masalah yang baru lahir mereka akan berijtihad berdasarkan metod Imam mereka. (Ibid : 96)

Ijtihad Dalam Fatwa

Ijtihad dalam fatwa pula ialah ijtihad yang diambil daripada pendapat- pendapat Imam mazhab mana- mana pendapat yang kuat atau rajih dan diambil untuk dijadikan fatwa. Mereka juga mencari dan menilai mana- mana pendapat Ashab Imam Mazhab yang berbagai dan dipilih yang paling sahih riwayatnya, yang paling kuat atau paling hampir kepada sahih untuk dijadikan fatwa. (Ibid : 97)

Untuk itu, mujtahid dan ijtihad dalam mazhab ini melakukan dua peranan utama : iaitu takhrij atau keluarkan dalil yang digunakan oleh Ashab Imam Mazhab serta tarjih atau tentukan kedudukan dalil yang digunakan. Justeru itu, mereka dikira bertindak sebagai murajjih terhadap pendapat Imamnya yang berbagai-bagai dan berbeza sebelum mengeluarkan fatwa. (Ibid : 97)

HUKUM YANG BOLEH DIIJTIHAD

Ijtihad yang harus dilakukan pada perkara tertentu sahaja, antaranya ialah:

i) Hal dan perkara yang tidak disebut hukumnya dalam nas al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama. Untuk itu, ijtihad yang dilakukan padanya ialah dengan mengkaji untuk mengetahui hukumnya melalui al- qiyas, masalih al- mursalah, uruf, istishab, istihsan dan lainnya. Oleh itu ulamak mujtahid tidak mempunyai kata sepakat dalam membuat dalil dan hujah dengan dalil-dalil tersebut dan berlakulah perselisihan ijtihad. Contohnya ijtihad Umar supaya Abu Bakar mengumpulkan al Quran. Pada mulanya Abu Bakar tidak setuju, namun selepas itu ia bersetuju. (Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali.1997: 264)

ii) Terhadap hal dan kejadian yang terdapat hukumnya dalam al-Quran atau Hadis Mutawatir, Namun dilalah kedua-dua nas tersebut terhadap hukum adalah zanni. Untuk itu, mujtahid mestilah berusaha untuk mencari maksud yang dikehendaki oleh syarak daripada nas tersebut. Selain itu. terdapat dalam nas al-Quran dan hadis dalam bentuk mutlak. Oleh itu, untuk menetapkan hukum daripada lafaz nas tersebut, suatu kajian harus dilakukan di kalangan mujtahid. (Ibid : 264- 265)

Sebagaimana contohnya ijtihad terhadap firman Allah SWT:

والمطلقث يتربصن بأنفسهن ثلثة قروء (Al Baqarah : 228)

Maksudnya :

Dan isteri- isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haid)

Nas al Quran dan sabit lafaz quru’ itu adalah qat’i, tetapi dilalah hukum daripada maknanya adalah zanni. Untuk itu juga para mujtahid melakukan ijtihad untuk mendapat maksud yang dikehendaki oleh syarak daripada lafaz quru’ itu. Hasil daripada ijtihad ulamak Hanafi, lafaz quru’ membawa erti haid. Untuk itu menurut ulama Hanafi perempuan yang diceraikan suaminya mestilah beriddah selama 3 kali haid.

Manakala hasil ijtihad ulama Syafi’e pula, lafaz quru’ ialah bererti suci. Untuk itu wajib ke atas perempuan yang diceraikan oleh suaminya beriddah selama tiga kali suci.

iii) Kejadian yang terdapat hukumnya dalam nas yang sabit secara zanni, tetapi dilalah kepada maknanya adalah sabit secara qat’i. Untuk itu bidang ijtihad pada nas tersebut ialah dengan mengkaji cara-cara dalil itu sampai dan diriwayat. Iaitu dari segi kedudukan perawi samada thiqah, adil dan sebagainya. Hal tersebut merupakan perkara yang berlainan di antara ahli mujtahid dalam menentukannya. (Ibid)

Sabda Nabi s.a.w.

فى خمس من الابل شاة

Maksudnya :

Pada setiap lima ekor unta diwajibkan zakat seekor kambing. (Ibn Majah, Tarmizi dan Malik)

Nas tersebut menunjukkan kepada maknanya adalah qat’i. Kerana lafaz (syatun) ialah lafaz khas, tetapi sabitnya adalah zanni kerana hadis tersebut tidak bertaraf mutawatir.

iv) Kejadian dan perkara yang terdapat hukumnya dalam nas yang disabitkan dengan zanni, demikian juga dilalahanya sabit dengan zanni juga. Oleh itu, harus bagi mujtahid berijtihad dengan melihat lafaz hadis dan kedudukan rawi dan sanad dan kemudian berusaha untuk mengetahui maksud yang dikehendaki oleh syarak daripada ertinya yang berbagai-bagai itu.

Contohnya terhadap hadis yang diriwayatkan oleh al Jama’ah:

لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب

Maksudnya :

Tidak sah sembahyang sesiapa yang tidak membaca al- fatihah. ( al Jama’ah)

Hadis tersebut sabit secara zanni, demikian juga dilalahnya, kerana ia bukanlah diriwayatkan dengan cara mutawatir dan lafaznya juga boleh memberi dua makna. Pertama: Menafikan kesempurnaan sembahyang kepada mereka yang tidak membacanya.

Hasil ijtihad ulama, maka ulama Syafi’e mengatakan tidak sah sembahyang tanpa membaca al-fatihah. Hasil ijtihad ulama Hanafi pula tidak sempurna sembahyang yang tidak dibaca al-fatihah. Boleh berijtihad tentang hukum yang tidak mempunyai nas dan ijmak mengenainya. (Ibid: 266)

HUKUM YANG TIDAK BOLEH DIIJTIHAD

Antara hukum yang tidak harus diijtihadkan ialah:

i. Hukum yang terdapat dalam nas yang sabit secara pasti dan dilalahnya juga adalah qat’i. Contohnya nas yang menyatakan hukuman hudud terhadap penuduh zina. Iaitu terhadap wanita yang muhasanah. (Ibid : 266- 267)

Sebagaiman firman Allah SWT:

والذين يرمون المحصنت ثم لم يأتوا باربعة شهداء فاجلدوهم ثمنين جلدة (An Nur : 4 )

Maksudnya :

Dan orang- orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan- perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat.

Nas tersebut di atas adalah sabit secara qat’i, dan lafaz thamanina, iaitu (80) dalam ayat tersebut adalah khas. Yang hanya menunjukkan satu makna sahaja. Iaitu makna yang tertentu, 80 kali dan tidak mungkin ia menunjukkan makna lain lagi. Justeru itu, ayat dan nas tersebut tidak ada ruang untuk berijtihad. (Ibid : 267- 268)

ii. Tidak boleh berijtihad terhadap hukum yang telah ditafsirkan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak mungkin berlaku ta’wil padanya. (Ibid)

Contohnya hukum yang diambil daripada firman Allah SWT:

وأقيموا الصلوة وءاتوا الزكوة ( Al Baqarah : 77 )

Maksudnya :

Dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat.

iii. Seterusnya tidak boleh ijtihad terhadap hadis mutawatir yang mentafsirkan lafaz yang mujmal. Kerana ia adalah sabit dengan qat’i dan maksudnya adalah jelas dan tidak mungkin menunjukkan berbagai makna.

iv. Tidak boleh ijtihad juga dalam hukum keseksaan dan kifarat yang ditetapkan kadarnya oleh syarak, seperti kifarat zihar dan sumpah. Sebagaiman firman Allah SWT tentang zihar. (Ibid)

والذين يظهرون من نساءهم ثم يعودون لما قالوا فتحرير رقبة من قبل أن يتماسا (Al Mujadalah : 3)

Maksudnya :

Dan orang- orang yang ziharkan isterinya, kemudian mereka berbalik daripada apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba abdi sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur.

v) Tidak boleh ijtihad juga terhadap hukum agama yang mesti diketahui oleh mukallaf, seperti beriman. (Ibid : 268)

Firman Allah SWT:

وأطيعوا الله والرسول ( ( Al Imran :132

Maksudnya :

Dan taatlah kamu kepada Allah dan rasul- Nya

vi) Hukum dan kejadian yang tidak ada nas menunjukkan hukumnya, sama ada nas qat’i atau zanni, jelas atau tidak jelas, namun telah berlaku ijmak atau pernah berlaku ijmak ulama mengenai hukum tersebut. Maka hukum seperti ini tidak boleh diijtihad lagi. Contohnya: Sepakat jumhur ulama tentang terbatalnya perkahwinan antara wanita muslimah dengan lelaki kafir. (Ibid)

Tidak boleh ijtihad tentang hukum- hukum syarak yang telah dimaklumi. Contohnya: Wajib sembahyang, puasa, zakat, pengharaman zina dan lainnya. (Ibid :264-268 )

KEHUJAHAN IJTIHAD

Ijtihad merupakan salah satu daripada sumber hukum yang dilakukan oleh mujtahid, apabila tidak terdapat hukum dalam nas al-Quran atau Hadis atau ijmak.

Walaubagaimanapun ahli ijtihad berlainan pendapat dan berbeza dalam menentukan hukum, keadaan itu berlaku kerana berlainan pemikiran dan suasana. Ahli mujtahid yang betul dalam ijthadnya mendapat dua ganjaran, manakala mujtahid yang salah dalam ijtihadnya dimaafkan dan mendapat satu ganjaran sahaja. Untuk itu ijtihad dikira sebagai hujah dalam hukum. (Ibid : 264- 268)

Sabda Nabi s.a.w :

اذا اجتهد الحاكم وأصاب فله أجران وإذا أجتهد فأخطا فله أجر واجد

Maksudnya:

Apabila seseorang hakim berijtihad dan ijtihadnya itu betul, maka ia mendapat dua ganjaran. Andaikata ijtihadnya itu salah, maka ia mendapat satu ganjaran. (Bukhari Dan Muslim)

Dalil lain tentang kehujahan ijtihad ialah di mana Saiyidina Umar dan Abu Bakar pernah berijtihad. Contohnya dalam masalah pusaka, iaitu al-kalalah Abu Bakar ada berijtihad. Manakala Saiyidina Umar pula berijtihad dalam masalah yang berkaitan dengan mas kahwin wanita. (Ibid : 269)

Dapat dirumuskan di sini ialah ulama berpendapat setiap yang diijtihadkan itu adalah benar. Sekiranya ada dan berlaku pertentangan pendapat di antara mujtahid, muqallid atau orang yang mengikut itu boleh memilih pendapat yang dirasakan lebih tepat untuk diikutinya. (Ibid)

IJTIHAD ULAMA MAZHAB DAN LAHIR GERAKAN IJTIHAD

Gerakan ijtihad berlaku secara aktif oleh ulama mujtahid seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah serta Imam Syafie pada abad pertama, kedua dan ketiga hijrah. Namun begitu, gerakan tersebut menjadi malap dan berhenti pada abad keempat hijrah, apabila pemerintah dan ulama lebih menekankan kepada gerakan taklid pula lantaran menilai keadaan semasa supaya tidak timbul perselisihan dan pertikaian antara masyarakat dan orang awam yang jahil khususnya. (Ibid : 270)

Pada abad keempat gerakan ijtihad menjadi malap dan terhenti, namun ada sesetengah ulama masih bersikap terbuka dan menolak taklid, khasnya dalam perkara furu’ dan tidak berpegang dengan satu mazhab sahaja. Contohnya al-Zaamaksyari. Namun pun begitu suara ulama tersebut tidak begitu terbuka umum. (Ibid)

Sesetengah ulama tidak mahu terikat dengan amalan taklid, kerana pada umumnya dasar taklid dalam perundangan ada baik dan ada buruknya. Antara bahayanya ialah:

a) Sifat fanatik kepada sesuatu mazhab tertentu menyebabkan mereka mengecam dan memburuk-burukkan mazhab lain.

b) Mematikan semangat mendalami ilmu serta tiada perkembangan pesat dalam mencari ilmu. .

c) Dalam sesetengah perkara furu’, ahli masyarakat dan politik menjadikannya sebagai alat politik dan kepentingan mereka. (Ibid)

Menilai keburukan dan keadaan yang tidak baik tersebut, lahirlah ulamak dan pemikir yang meneliti kembali amalan taklid tersebut untuk dinilai dan dikaji mengikut sumber utama, iaitu al-Quran dan hadis serta membuka ruang kepada perkara yang diharuskan perselisihan pendapat dan perkara yang tidak diharuskan untuk berbuat demikian. (Ibid)

Seruan secara lantang dan terbuka kepada kembali berijtihad dipelopori oleh Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn Qayyim al-Jauziyah. Walaupun gerakan yang dibuat oleh Ibn Taimiyyah berlangsung ketika amalan taklid begitu menebal dalam masyarakat, namun sedikit sebanyak dengan usaha beliau dan anak muridnya itu dapat menarik kesedaran masyarakat dan mereka tidak terlalu fanatik terhadap sesuatu mazhab. (Ibid)

Antara kesan positif yang lahir selepas seruan ijtihad itu ialah lahirnya ulama yang menulis buku yang menyatakan lapangan yang menjadi sepakat antara ulama pengasas mazhab-mazhab seperti al-Sya’raani yang menulis dalam kitabnya al-Mizan al-Kubra, menyatakan tentang sumber pengambilan yang sama antara mazhab-mazhab tersebut. (Ibid : 270 - 271)

Gerakan ijtihad seterusnya dikembangkan dan dibawa pula oleh Muhammad bin Abdul Wahid yang telah mendapat sokongan Raja Abdul aziz al-Sa’ud di Hijaz. Seterusnya lagi gerakan itu muncul juga di Mesir yang dipelopori oleh Syeikh Muhammad Abduh dan muridnya Rasyid Redha. (Ibid : 271)

Kesan perkembangan dan kelahiran tokoh baru itu telah memberi ruang yang baik kepada umat Islam, walaupun sesebuah negara telah menetapkan sesebuah aliran mazhab di negara mereka, namun mazhab lain juga dapat diterima dan digunakan dalam pelaksanaan syariat untuk menyelesaikan masalah dan dalam perkara yang dapat member kemaslahatan kepada masyarakat dan umat Islam. (Ibid)

Untuk itu, ijtihad merupakan perkara penting di dalam pembinaan hukum. Iaitu dengan cara istinbat hukum daripada al-Quran dan hadis. Ijtihad itu sentiasa berkembang mengikut kesesuaian masa, keadaan dan tempat. Oleh itu, ijtihad merupakan suatu kehujahan dalam pembinaan hukum kerana ijmak juga berdasarkan ijtihad dan ijtihad itu sendiri diharuskan oleh syarak. (Ibid)

SYARAT DAN CARA BERIJTIHAD

Setiap bidang ilmu dan pekerjaan yang memerlukan kelayakan tertentu tidak akan tercapai kecuali disempurnakan syarat yang diperlukan. Begitulah ijtihad dalam syariat ini, sewajarnya dipenuhi segala syarat yang ditentukan supaya melayakkan seseorang itu ke martabat semua ini.

Martabat ijtihad suatu kedudukan teristimewa dalam agama, kerana orang yang menduduki tempat ini mestilah seorang yang alim lagi faqih yang dijadikan rujukan dalam urusan fiqh. (Kassim Salleh 1989 : 159)

Untuk berijtihad, seseorang mujtahid itu mestilah mengikuti cara tertentu,iaitu:

a. Mestilah terlebih dahulu meneliti nas yang terkandung dalam al-Quran, kemudian meneliti hadis mutawatir dan hadis Ahad dalam penetapan hukum dan menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

b. Peringkat kedua sekiranya mujtahid tidak menemui nas yang menjelaskan hukum dalam al-Quran dan hadis, maka ia mestilah berpegang dan mengambil zahir hadis serta setiap yang dapat diambil daripada keduanya itu tentang apa sahaja yang dapat dijadikan pegangan yang berbentuk mantuq dan mafhumnya.

c. Sekiranya mujtahid tidak menemui hukum melalui jalan peringkat kedua, maka ia mestilah meneliti dan menilai segala perbuataan Nabi S.A.W. dan selepas itu taqrir Baginda: seterusnya beliau hendaklah berijtihad melalui jalan penetapan hukum secara qiyas berdasarkan ‘illah atau sebabnya.

d. Sekiranya dengan jalan dengan cara ketiga tersebut juga mujtahid tidak dapat menemui hukum yang dimaksudkan, maka ia mestilah pula berpegang dengan Bara’ah asliyyah (برأة اصلية).

e. Selain itu, apabila mujtahid itu menemui dua dalil atau nas yang bertentangan, maka beliau hendaklah terlebih dahulu mencari dan menilai serta melihat dalil itu dari sudut ia dapat diterima kedua-duanya sebagai dalil hukum. Ini kerana dengan berpegang kepada dua dalil itu lebih baik daripada meninggalkan salah satu daripadanya. (Abd Latif Muda 1997 : 263 - 264)

Walaupunbagaimanapun sekiranya mujtahid itu tidak mungkin dapat mencari dan tidak dapat dikumpulkan kedua dalil itu sebagai satu dalil hukum, maka mujtahid tersebut hendaklah mengeluarkan hukum melalui tarjih atau menguatkan terhadap salah satu daripada dua nas yang bertentangan itu. (Ibid : 264)

SYARAT-SYARAT ASASI

a. Mengetahui al-Quran al-Karim

Pengetahuan mengenai al-Quran merangkumi mengetahui selok belok bahasanya “khabar dan insya”, suruhan dan larangan tuntutan dan harapan mengetahui makna perkataan dalam penggunaan bahasa ‘uruf dan syarak sama ada perkataan itu berasingan atau kedudukannya dalam ayat dan tujuan penggunaan perkataan itu serta sejauh mana tercapainya tujuan itu dalam syarak. (Kassim Salleh 1989 : 161)

Mengetahui juga bahagian perkataan mufrad dan jamaknya dari segi umum dan khusus mujmal mubaiyan mutlaq muqayad zahir khafiy dan mushtarak muawwal dan lain-lain. Mengetahui pengertian al-Quran secara mantuq dan mafhum dan pengertian terhadap maksud sesuatu anggapan samada secara terangan dan sindiran,serta mengetahui alasan-alasan yang mengetahui hukum serta kepentingannya yang dijadikan matlamat hukum-hukumnya. Mengetahui nasakh dan mansukh dan boleh juga dirujuk kepada kitab yang diakui sah dalam bidang itu. (Ibid)

b. Mengetahui al-Sunnah.

Al-Sunnah adalah sumber kedua dalam syariat ini dengan kedudukan di martabat ini mengetahuinya menjadi pasti dalam ijtihad. Mengetahui Sunnah ertinya mengetahui makna perkataan, mengetahui ilmu Mustalah al-hadith, susunan gaya bahasanya dan pengertian dari segi syarak dan sebagainya. (Ibid : 164)

Jumlah hadis yang harus diketahui oleh para mujtahid ada yang mengatakan harus 3000 buah hadis. Ada pula yang mengatakan harus 1200 buah hadis. Menurut al-Syawkani harus mengetahui hadis-hadis yang ada dalam kitab-kitab yang enam dan lain-lain.Tidak disyaratakan menghafalnya. Tentang hadis selain mengetahui hadis sahih, hasan dan dhaifnya, harus juga mengetahui keadaan perawi-perawi hadis yang tercela dan yang tidak. (A.Hanafi 1988 : 151 - 152)

c. Mengetahui perkara yang diijmakkan.

Disyaratkan ini supaya tidak memberi fatwa berlawanan dengan ijmak, maksudnya bukanlah menghafal seluruh perkara yang diijmakkan tetapi cukuplah diketahui bahawa masalah yang dikaji dan fatwanya tidak bertentangan dengan keputusan ijmak. (Kassim Salleh 1989 : 167)

d. Mengetahui ilmu Usul al-Fiqh.

Mensyaratkan mengetahui ilmu itu nyata sekali kerana ijtihad bergantung kepada memahami dalil-dalil syarak untuk mengeluarkan hukum dan mujtahid hendaklah berpengetahuan luas serta mendalam kerana ilmu ini adalah asas ijtihad. Kalaulah ia berkemampuan, maka senanglah merujuk setiap masalah yang dihadapi kepada usulnya, kalau tidak dia akan menghadapi kesukaran dan kesulitan. (Ibid : 169)

e. Mengetahui bahasa Arab.

Syarat terpenting yang perlu dilengkapi oleh seseorang sebelum melakukan ijtihad, seluruh ulamak bersetuju sedemikian kerana inilah bahasa syariat. Al-Quran di turunkan dalam bahasa Arab dan Sunnah Rasul juga dalam bahasa Arab. (Ibid : 171)

f. Mengetahui kaedah-kaedah am fiqh.

Pengetahuan ini besar faedahnya. Dengannya seseorang mujtahid boleh mengetahui fiqh sumbernya, hasilnya, kemahiran mengingat masalah-masalah fiqh dan mengadakan perbandingan serta mengeluarkan masalah-masalah baru sepanjang masa. Dari itu ada ulama mengatakan fiqh sebenarnya mengetahui persamaan dan pengimbasan. (Ibid : 174)

g. Mengetahui matlamat syarak.

Ini adalah semangat perundangan Islam dan diisyaratkan ini supaya tidak menyeleweng daripada tujuan asalnya. Matlamat ini diasaskan kepada kepentingan kemanusiaan mengikut penilaian syarak dan justeru itulah diutuskan segala rasul-rasul. (Ibid : 179)

Imam al-Shatibi menganggapkan mengetahui matlamat syarak sebagai syarat asas bagi seseorang yang melakukan ijtihad. Dengan itu barulah ijtihadnya menjadi sempurna. Dalam kitabnya al-Muwafaqat beliau menegaskan bahawa martabat ijtihad tercapai dengan dua perkara. Pertama memahami matlamat syarak iaitu memahami kepentingan hamba Allah dalam tiga peringkat daruriyyat, hajiyyat, tahsiniyat (perkara pasti, keperluan dan keperluan tambahan). (Ibid)

Kemudian mengetahui perkara lain yang menyempurnakan peringkat tadi. Pendeknya seluruh kaedah am dalam syarak berkhidmat untuk perkara-perkara disebutkan. Sekiranya seseorang itu faham segala matlamat syarak dan dihayati matlamat itu dalam setiap masalah fiqh dari mana-mana bab pun , maka orang itu telah mencapai sebab-sebab menduduki taraf khalifah kepada rasul di dunia ini dalam memberi pengajaran, fatwa, dan hukum-hukum sepertimana yang dikehendaki Allah. Keduanya kemampuannya melaksanakan tugas-tugas ijtihad kerana kemampuan itu memerlukan pengetahuan syariat dan matlamatnya. (Ibid)

SYARAT-SYARAT KESEMPURNAAN

a. Mengetahui Ilmu Mantiq

Ilmu ini disebut-sebut oleh fuqaha sebagai “cara penerokaan”, dengan mengetahui syarat-syarat pembuktian dan sempadannya. Cara mengatur kata-kata supaya menghasilkan tujuan dan dapat menghasilkan maklumat baru melalui maklumat-maklumat yang sedia ada. Maka perlulah mujtahid mengetahui perkara tasawwurat,tasdiqat.Ilmu ini dulunya dikenali dengan “Ilmu al-Mizan” iaitu ilmu neraca. (Ibid :176)

Hubungan ilmu mantiq dengan ijtihad tidaklah melebihi perkara muqaddimat dan beberapa perbahasan seperti dilalah, bahagian-bahagian qiyas dan bentuknya, bagaimana mantiq adalah senjata yang paling berkesan dalam bidang perdebatan, kerana pendebat mestilah meletakkan hujahnya di atas asas yang kuat dan boleh mematahkan hujah lawan dengan mudahnya. Keperluan kepada mantiq untuk tujuan penyaluran hukum agak sedikit. Maka disyaratkan sekadar keperluan-keperluan itu sahaja. (Ibid : 177)

b. Mengetahui dalil akal

Sesetengah ulama usul mensyaratkan supaya mujtahid mengetahui dalil akal iaitu “al-bara’ah al-asliyah” (kekosongan asal). Syarat ini dikenakan supaya mujtahid merujukkan sesuatu hal keadaan itu hingga mengetahui adanya dalil dari nas al-Quran dan al-Hadis atau qiyas. (Ibid)

c. Mengetahui Ilmu Kalam

Ulama berselisih pendapat mensyaratkan agar mengetahui ilmu Kalam. Golongan Muktazilah dan Qadariyah mensyaratkan supaya mujtahid mengetahuinya secara mendalam. Jumhur tidak mensyaratkan, malah ijtihad boleh dilakukan oleh seseorang Islam yang betul akidahnya, kerana ilmu al-kalam tidak berkaitan dengan peristiwa, perkaitan dengan perkara akidah sahaja. Kebenaran akidah boleh dicapai oleh orang awam tanpa memerlukan kajian mendalam. (Ibid : 178)

d. Mengetahui masalah-masalah furuk (fiqh)

Jumhur ulama berpendapat tidak perlu disyaratkan, sebab kalau disyaratkan mengetahui perkara furuk akan menimbulkan “putaran”, kerana hukum masalah furuk akan dilahirkan oleh mujtahid setelah mencapai martabat ijtihad. Maka hukum bagi masalah itu terhenti kepada pencapaiannya, ijtihadnya pula terhenti kepada mengetahui masalah furuk. (Ibid : 179)

Bagaimanapun ada baiknya mujtahid mengetahui masalah-masalah fiqh yang sering berlaku di kalangan orang ramai supaya ia dapat mengumpul gambaran secara am tentang perkara itu dan memudahkannya menjalankan urusan penting. (Ibid)

SYARAT-SYARAT AM

a. Baligh

Orang yang belum baligh tidak dikira sempurna akalnya.Maka pendapatnya tidak diberi penilaian. Ibn Badran berkata pendapat yang menentang dari kanak-kanak tidak diambil kira dan tidak memberi sebarang kesan syarak, lagipun saksinya tidak diterima, kecuali riwayatnya. (Ibid : 180)

b. Berakal

Disyaratkan mujtahid berakal. Ini adalah perkara biasa, kerana ijtihad tidak mungkin dilakukan oleh orang cacat akalnya. (Ibid)

Dimaksudkan dengan akal di sini ialah daya kemampuan pada diri seseorang untuk memahami perkara yang boleh diketahui. Ada pendapat mengatakan kefahaman itu sendiri samaada secara nazariyy (menggunakan tenaga akal) atau daruriyy (perkara pasti yang difahami tanpa berfikir. ( Ibid : 181)

c. Mempunyai daya kefahaman yang mendalam

Seseorang mujtahid mestilah mempunyai daya kefahaman dan pandangan tajam, pernah melahirkan buah fikiran dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai keadaan semasa. Tanpa keistimewaan ini, fikiran dan pengalaman hidup, seseorang itu tidak boleh menyatakan fatwanya untuk melayan keperluan segera atau akan datang. (Ibid)

d. Orang yang adil (bukan fasiq)

Seseorang yang menjadi mujtahid mestilah boleh dipercayai, beramanah,tidak bermudah-mudah dalam urusan agama,mempunyai sifat takwa,tidak terikut-ikut dengan runtutan hawa nafsu dan memberi jawapan mengikut pengetahuannya tentang syarak dengan jalan yang betul. (Ibid : 183)

TERBATALNYA IJTIHAD

Sesuatu ijtihad itu terbatal apabila mujtahid yang melakukan ijtihad terhadap hukum masalah berlaku untuk beramal dengannya, kemudian ternyata salah ijtihad tersebut, maka wajib mujtahid itu membatalkan hukum ijtihadnya itu dan melakukan ijtihad yang lain dan mestilah berpegang dan beramal dengan ijtihad baru dan kedua itu pula. (Abd. Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997 : 269)

IJTIHAD SEMASA

Keperluan masyarakat Islam pada hukum Islam semasa sentiasa wujud mengikut perubahan masa. Kegagalan memenuhi tuntutan ini, akan menyebabkan pengaruh hukum Islam akan menjadi pudar. Era pembangunan yang dialami oleh masyarakat Islam telah menimbulkan pelbagai persoalan yang baru dalam kehidupan dan persoalan ini perlu dijawab berasaskan kepada masyarakat yang ada pada sekarang. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kepada umat Islam seluruhnya untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan baru yang bersesuaian dengan keadaan setempat tanpa membelakangkan asas-asas hukum-hukum fiqh sebagai kaedah pengistinbatan hukum syarak.

Ijtihad Semasa Berkaitan Bidang Perubatan

Pemindahan Organ

Pemindahan organ boleh didefinisikan sebagai mengganti organ yang gagal berfungsi dengan baik pada tubuh badan seseorang dengan organ baru daripada seseorang penderma, sama ada penderma itu masih hidup atau sudah mati. (Basri bin Ibrahim al-Hassani al-Azhari 2004 : 58)

Pandangan ulama tentang pemindahan organ terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang mengharuskan dan tidak mengharuskan pemindahan organ. Golongan yang mengharuskan adalah sebahagian ulama Mazhab al-Syafie seperti al-Imam al-Nawawi, Iz al-Din Abd al-Salam, Qalyubiyy, dan Umayrah dan sebahagian ulama Mazhab Hanbali seperti Ibnu Qudamah mengharuskannya dalam keadaan seseorang yang berada dalam keadaan darurat atau terdesak. (Ibid : 134)

Golongan kedua iaitu golongan yang tidak mengharuskan pemindahan organ ini adalah terdiri daripada kebanyakan ulama empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali. Mereka berpendapat tidak harus mengambil manfaat daripada mana-mana organ manusia kerana kehormatannya. (Ibid : 130)

Ulama pada hari ini mengharuskan pemindahan organ manusia, berdasarkan firman Allah S.W.T iaitu :

إنما حرم عليكم الميتة والدم ولحم الخنزير ومآ أهل به لغير الله فمن اضطر غير باغ ولا عاد فلآ إثم عليه إن الله غفور رحيم (Al-Quran, al-Baqarah :173)

Maksudnya :

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Firman Allah SWT :

فمن اضطر فى مخمصة غير متجانف لإثم فإن الله غفور رحيم (Al-Quran, al-Maidah :3)

Maksudnya :

Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Berdasarkan ayat di atas, ianya mengecualikan keadaan darurat daripada pengharaman mengambil benda-benda yang dinaskan. Dalam hal ini, seseorang pesakit yang memerlukan kepada pemindahan organ termasuk dalam golongan darurat.

Syarat-Syarat Umum Pendermaan Dan Pemindahan Organ

Syarat-syarat tersebut boleh dihuraikan seperti berikut :

a) Kemudaratan yang hendak dihilangkan itu dapat dinilai secara pasti.

b) Kemudaratan yang dilakukan itu dapat dinilai kedudukannya.

c) Perbezaan antara kemudaratan yang hendak dihilangkan dan kemudaratan yang akan timbul akibat dari operasi pemindahan dapat dikesan dengan jelas dan pasti.

d) Kedua-dua kemudaratan ini tidak dapat dihilangkan sekaligus. (Ibid : 225)

Syarat-Syarat Khusus Pendermaan Dan Pemindahan Organ

Syarat-syarat khusus ini terbahagi kepada dua iaitu :

1) Syarat-Syarat Penderma Yang Masih Hidup

i) Syarat-syarat yang ditetapkan oleh fiqh dan undang-undang

a) Tidak harus kepada orang Islam menderma organnya kepada kafir harbi, orang yang murtad, penzina muhsan, perompak, pembunuh yang berhak menerima hukuman Qisas.

b) Penderma yakin organ yang didermakannya tidak digunakan untuk menjatuhkan kemuliaan manusia.

c) Penderma hendaklah seorang yang sempurna keahliannya ketika proses dan operasi pemindahan organ dilakukan.

d) Penderma menderma organnya secara sukarela.

e) Penderma telah mendapat pandangan dan nasihat daripada doktor pakar bahawa pemindahan yang akan dilakukannya tidak mendatangkan kemudaratan yang besar kepadanya.

f) Penderma hendaklah menyatakan dengan jelas persetujuannya untuk menderma, mengikut prosiding yang ditetapkan.

g) Penderma hendaklah berada di dalam keadaan sihat, begitu juga dengan organ yang hendak didermakan.

h) Penderma hendaklah mempunyai kelayakan umur untuk menderma mengikut undang-undang yang dipakai di negara tempat ia menderma organ.

i) Penderma membuat keputusan untuk menderma organnya dalam keadaan tenang dan selesa bukan dalam keadaan fikiran yang bercelaru.

j) Pendermaan organ yang dilakukan adalah satu-satunya jalan yang dapat menyelamatkan nyawa pesakit atau penerima organ. (Ibid : 225-233)

2) Syarat-Syarat Penderma Yang Telah Meninggal

i) Syarat-syarat yang ditetapkan oleh fiqh dan undang-undang

a) Penderma benar-benar meninggal dunia.

b) Mendapat persetujuan dan keizinan si mati semasa hidupnya supaya organnya diambil setelah ia meninggal.

c) Mendapat persetujuan ahli keluarga jika si mati tidak menyatakan apa-apa sama ada boleh atau tidak organnya diambil selepas meninggal dunia.

d) Jika si mati tidak mempunyai waris, ia perlu mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa.

e) Pengambilan organ si mati adalah satu-satunya cara yang boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

f) Pengambilan organ si mati disebabkan darurat.

g) Pengambilan organ si mati hendaklah dengan syarat tidak menyatakan sebarang bayaran atau pampasan. (Ibid : 236-241)


Bank Susu

Rabu, 26 jun 1996 - Akhbar Utusan Malaysia ada memaparkan tentang bank susu ibu yang di tubuhkan di Itali. Bank ini berpusat di hospital Anna Meyer Florence dan ia adalah satu-satunya bank susu ibu yang terdapat di Itali dan membantu menyelamatkan banyak nyawa setiap tahun. Melalui bank ini semua ibu boleh menderma susu mereka untuk kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital itu. (Zawavi Bin Zainal Abidin 2006 : 3)

Kedudukan Bank Susu

Dalam Islam penubuhan bank susu ibu tidak dibincangkan dalam kitab fikah. Oleh itu penubuhan bank susu ini adalah ijtihad daripada para ulama yang ada pada masa kini. Ini kerana ia melibatkan kepentingan umat Islam seluruhnya. Terdapat juga ibu yang tidak bernasib baik kerana tidak mempunyai air susunya sendiri untuk menyusukan bayinya yang baru lahir. Keadaan ini menyebabkannya menggunakan susu tiruan daripada binatang ternakan seperti lembu, sedangkan penggunaan susu tiruan tidaklah sebaik susu ibu yang sememangnya di ketahui semua dan juga diperakui oleh pakar-pakar perubatan. Ini berdasarkan kajian yang telah dibuat dan didapati bahawa:

i) Bayi yang minum susu tiruan kerap mengalami gastreoenteris atau cirit birit dengan kadar yang tinggi yang ia jarang ditemui pada bayi yang meminum susu ibu.

ii) Susu lembu mengandungi banyak komposisi yang amat berbeza dengan susu ibu. Susu lembu mengandungi protein yang tinggi dan protein ini pula mengandungi casein yang tinggi, iaitu pecahan dalam susu lembu yang sukar dihadamkan.

iii) Bahaya yang khusus dalam susu lembu ialah kandungan sodium dan posfat yang tinggi dan boleh everload buah pinggan bayi yang baru lahir.

iv) Bayi yang di beri susu ibu mempunyai IQ yang tinggi berbanding dengan bayi yang di beri susu tiruan.

v) Colostrum adalah cecair yang keluar daripada buah dada ibu selepas beberapa hari melahirkan bayi dan mengandungi protein yang tinggi dan antibodi untuk meningkatkan ketahanan badan bayi daripada penyakit-penyakit tertentu.

vi) Susu ibu mengandungi lipid dan protein yang mengubah komposisinya semasa penyususan ibu. Perubahan ini akan mengawal selera minum dan akan menunaikan keperluan makanan serta kehausan bayi tersebut. (Ibid : 3 - 4)

Hukum Bank Susu

Penubuhan bank susu menyebabkan berlakunya perbahasan penyusuan menurut Islam. Menurut Al-Qardawi, beliau menjelaskan bahawa penubuhan bank susu adalah satu kerja kebajikan yang disokong oleh Islam. Islam menyeru umatnya supaya memberikan tumpuan kepada golongan yang lemah tanpa mengambil kira sebab kelemahanya dan apatah lagi apabila ia melibatkan bayi yang tidak berdaya dan lemah. (Ibid)

Perempuan atau ibu yang mendermakan susunya secara sukarela untuk diberikan kepada bayi-bayi yang lemah dan tidak berdaya, maka ia akan diberikan pahala oleh Allah s.w.t. dan ianya merupakan satu perbuatan yang terpuji di sisi manusia. Malahan, harus membeli susu daripada ibu-ibu yang mempunyai air susu yang lebih untuk diberikan kepada bayi yang memerlukan. Ini sebagaimana harus menyewanya untuk menjalankan tugas penyusuan ke atas bayi itu sebagaimana yang telah dinaskan oleh al-Quran dan diamalkan oleh orang Islam. (Ibid)

Ada dua persoalan yang berbangkit daripada isu ini, pertama ialah masalah penyusuan yang disebutkan sebagai al-rada`ah dan kedua masalah hukum menjual susu manusia. Penumpuan ke atas ini hanyalah kepada persoalan Bank Susu Ibu.

Jika dirujuk kepada tindakan al-rada`ah atau penyusuan seseorang bayi ia boleh berlaku menerusi hisapan mulutnya atau penuangan susu ke dalam mulut atau hidungnya dan ini adalah pandangan Mazhab Hanafi, Maliki dan Shafi`i. Ketiga-tiga cara ini boleh berlaku dengan penggunaan susu dari Bank Susu Ibu. (Ibid)

Hanya satu pendapat di dalam Mazhab Hanbali sahaja yang mengatakan bahawa penyusuan tidak akan berlaku kecuali dengan hisapan bayi pada puting ibu susuannya. (Ibid)

Dr. Yusuf al-Qaradawi mengatakan bahawa penyusuan yang melahirkan hukum haramnya perkahwinan dan lain-lain itu merujuk kepada perkataan rada`ah yang bermaksud penyusuan menerusi puting ibu ke mulut seseorang bayi, sambutan bayi berkenaan terhadap penyusuan itu dan pergantungannya dengan si ibu yang menampilkan suasana manja dan mesra (antara kedua-duanya). Dalam pengertian ini ada tiga perkara asas yang perlu diperhatikan iaitu yang pertama: ibu yang tertentu yang memberi penyusuan dan yang kedua: melalui hisapan bayi pada puting ibu berkenaan dan kedudukan bayi di atas ribaannya atau dalam pelukannya yang menampilkan suasana pergantungan, kemanjaan kemesraan di antara bayi dengan ibunya. (Ibid)

Berdasarkan kepada kedudukan ini beliau menyimpulkan bahawa rada`ah atau penyusuan yang menimbulkan hukum penyusuan sama sekali tidak akan berlaku di dalam isu penyusuan bayi menerusi Bank Susu Ibu kerana beberapa sebab:

i) Personaliti ibu sebenar tidak akan dapat dikenalpasti kerana susu itu dikumpul daripada jumlah ibu yang ramai.

ii) Hisapan tidak mungkin berlaku pada puting seseorang ibu kerana bayi berkenaan akan diberikan susu menerusi hisapan pada puting botol susu atau pelbagai cara yang lain.

iii) Bayi sama sekali tidak akan berada di atas ribaan ibu susu yang sebenar. Dengan itu tidak terdapat jalinan mesra di antara bayi dengan ibu. Justeru, beliau menyimpulkan bahawa tidak timbul lagi masalah halangan perkahwinan di antara sesama anak sesusuan dan masalah-masalah yang lain.

Bertolak dari kedudukan ini, usaha untuk mewujudkan Bank Susu Ibu seharusnya digalakkan kerana ia memberi sumbangan besar kepada keperluan bayi, khususnya, para bayi yang bermasalah dengan dengan susu tiruan. Ia merupakan amalan terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana prinsip syari`ah, malah ia adalah selaras dengan maqasid syari`ah yang antaranya bertujuan mengawal keselamatan diri manusia. (Ibid)

Bank Darah

Pusat-pusat perubatan moden pada masa kini, telah menubuhkan institusi-institusi yang digunakan untuk menyimpan dan mengumpul darah. Kemudiannya ia akan diagihkan untuk memberi pertolongan cemas kepada pesakit yang memerlukan dan juga untuk menyelamatkan orang yang terlibat dalam kemalangan dan kehilangan banyak darah. Bank-bank ini merupakan peti sejuk dan bekas yang sesuai dari segi sains perubatan untuk menyimpan darah manusia, lengkap dengan alat-alat keceriaan bagi penjagaannya agar ianya tahan lama semaksimum yang mungkin.

Bank darah mempunyai dua sumber yang berbeza yang mana ianya daripada manusia itu sendiri iaitu: (Zawavi Bin Zainal Abidin 2006 : 7)

i) Sumber daripada manusia yang hidup.

ii) Sumber daripada manusia yang telah meninggal dunia.

Sumber Pertama Iaitu Daripada Manusia Yang Hidup

Biasanya orang akan datang ke pusat menderma darah. Darahnya akan diambil dengan kadar tertentu dan setelah itu ia akan menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan kesihatannya tidak terjejas dan juga supaya darahnya selamat di gunakan oleh pesakit lain. Pada kebiasaannya, pemindahan darah ini berlaku antara mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan seperti ibu atau bapa dengan anak-anak ataupun sebaliknya. Operasi ini biasanya dilakukan terus tanpa menyimpannya terlebih dahulu. (Ibid : 7 - 8)

Sumber Kedua Iaitu Daripada Orang Yang Mati

Kepakaran dan kemajuan sains teknologi yang ada membolehkan doktor-doktor pakar mengeluarkan darah daripada tubuh manusia yang telah meninggal dunia dan menyimpannya dalam bank darah untuk kegunaan kecemasan. (Ibid)


Hukum Pemindahan Darah

Kedudukan hukum darah yang mengalir adalah sejajar dengan bangkai dan daging babi, ianya di haramkan bagi manusia berdasarkan nas al-Quran iaitu

حرمت عليكم الميتة ولدم و لحم الخنزير (al-Maidah : 5)

Bermaksud : diharamkan bagimu bangkai, darah dan daging babi

Walaupun hukum darah itu haram, namun ia sesuatu yang amat diperlukan dalam kehidupan manusia untuk berubat dengannya.

Para fuqaha berpendapat hukumnya harus berubat dengan bahan yang haram dan najis. Seandainya tidak ada bahan yang suci untuk dijadikan penggantinya. Oleh itu, pakar perubatan berpendapat bahawa untuk menyelamatkan seseorang pesakit tertentu dan ianya memerlukan pertambahan darah, maka harus dimasukkan darah ke dalam tubuh badanya. (Ibid : 9)

Ini berlandaskan kaedah syarak

الضروريات تبيح المحظورات

Bermaksud : keadaan darurat mengharuskan perkara yang haram

Pengambilan darah dan pendermaannya daripada orang yang sihat untuk dimanfaatkan oleh pesakit yang memerlukan dan menyelamatkan mereka daripada meninggal, ia adalah satu rahmat kepada manusia. Rahmat adalah satu tuntutan kemanusiaan di dalam Islam.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : kamu tidak beriman sehinggalah kamu mengasihi, mereka berkata : wahai Rasulullah, kami semua mengasihani. Baginda bersabda : sesungguhnya yang dimaksudkan bukanlah mengasihani seorang daripada kamu akan sahabatnya, akan tetapi mengasihani manusia keseluruhannya. (Ibid)

Berdasarkan hujah di atas, maka hukumnya harus mengambil darah orang yang masih hidup. Kemudiannya menyimpan dalam tabung darah untuk kegunaan kecemasan. Apabila harus mengambil darah daripada orang yang hidup, maka pengambilannya daripada mayat lebih-lebih lagi diharuskan dengan membuat perkiraan bahawa mengeluarkan darah mayat-mayat selepas kematiannya tidak akan menyakitkan dan tidak mengurangkan tenaga pergerakkannya. Oleh itu bank darah adalah halal pada syarak. (Ibid)

Ijtihad Semasa Berkaitan Perkahwinan

Kahwin Misyar

Perkataan misyar berasal daripada perkataan arab sara, sira, sirah, tasayara, masar dan juga masirah. Ia bermaksud, berjalan dan perjalanan. Ia juga boleh diertikan sebagai pemergian. Perkataan misyar sebenarnya ialah satu perkataan daripada bahasa dialek atau loghat (bahasa ammiyah) atau boleh juga disebut sebagai bahasa pasar yang digunakan di beberapa negara Teluk. Ia difahami sebagai: perjalanan dan tidak tinggal lama di sesuatu tempat. (http://kawinkawin.blogspot.com/2008/04/bab-satu-kahwin-misyar.html)

Perkahwinan misyar dari segi istilah ialah perkahwinan di mana pengantin lelaki tinggal di rumah pengantin perempuan tetapi pengantin perempuan tidak pula berpindah ke rumah pengantin lelaki. Ia selalunya berlaku ke atas isteri kedua kerana si lelaki mempunyai isteri lain (isteri pertama) yang tinggal di rumah si lelaki dan menerima nafkah daripada lelaki tersebut. (Yusuf al-Qaradawi 1998 : 31)

Penggunaan istilah misyar amat popular di kalangan masyarakat Arab untuk membezakan nikah bersyarat (tidak menuntut nafkah zahir dan tempat tinggal) dengan perkahwinan biasa tanpa syarat di atas. (http://kawinkawin.blogspot.com/2008/04/bab-satu-kahwin-misyar.html)

Kahwin misyar dipercayai berlaku di kalangan masyarakat Islam berfahaman Sunni di Mesir pada awal 1825. Ia telah difatwakan dalam undang-undang secara rasmi di Mesir oleh Sheikh Muhammad Sayid Tantawy pada 1999. (Ibid)

Ia dipercayai menjadi amalan lelaki kaya dari Kuwait dan Arab Saudi yang berkahwin secara misyar semasa dalam percutian. Ini menghalalkan mereka mengadakan hubungan seks. Mereka mengembara ke negara-negara miskin seperti Mesir atau Syria dan berjumpa dengan orang tengah yang boleh mengatur perkahwinan mereka dan sesetengahnya melalui atas talian. Lelaki Mesir yang bekerja di negara-negara Teluk juga gemar berkahwin misyar daripada hidup sendirian. (Ibid)

Menurut Pensyarah Kuliah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zulfakar Ramlee, terdapat tiga pandangan ulama berhubung nikah misyar iaitu harus, harus tetapi tidak digalakkan dan haram.

Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi menyarankan agar syarat-syarat yang termaktub dalam nikah misyar tidak ditulis dalam akad supaya ia menjadi persetujuan lisan antara pasangan dan bukannya dipaksa. (http://drhasanah.com/2006/wacana-nikah-misyar-anjuran-jemaah-islah-malaysia-jim/)

Pandangan ulama yang menyatakan nikah misyar haram kerana ia merupakan satu bentuk penghinaan terhadap kaum wanita dan mengambil kesempatan di atas situasi yang dialami oleh wanita. Malah syarat yang diletakkan adalah tidak sah dan membatalkan nikah kerana syarat tersebut bertentangan dengan objektif syarak dalam perkahwinan. (Ibid)

Zulfekar berkata, untuk meluluskan pernikahan misyar di negara ini, beberapa perkara perlu diberikan perhatian terutama membabitkan undang-undang keluarga Islam. Misalnya, dalam undang-undang terdapat definisi jelas berkaitan dengan misyar dan seksyen lain yang melibatkan tanggungjawab nafkah kepada anak-anak. (Ibid)

Perunding syarie JIM, Prof. Madya Alias Osman berkata, perkahwinan misyar akan memberikan kesan dari segi hak dan tanggungjawab isteri terhadap suami, suami terhadap isteri dan masa depan anak-anak. Saranan yang dikeluarkan oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi berkenaan syarat misyar adalah bertujuan untuk melindungi kaum wanita. Sekiranya setiap syarat tertulis semasa akad nikah, ia akan menjadi lebih rigid dan wanita akan kehilangan hak-hak mereka. (Ibid)

Tegas beliau, walaupun isteri rela untuk tidak diberikan nafkah, mereka tetap berhak mendapat nafkah batin, kebahagiaan rumah tangga, didikan agama, perlindungan, penghormatan, tuntutan harta sepencarian, harta pusaka dan hak sebagai isteri jika dimadukan. Begitu juga anak-anak berhak mendapat sepenuh perhatian dan kasih sayang daripada bapa mereka. (Ibid)

Kerelaan isteri melepaskan hak pemberian nafkah tidak menggugurkan hak-hak suami dari segi kebenaran poligami, harta sepencarian dan pusaka jika isterinya meninggal dunia. Bagaimanapun, suami menanggung sendiri hidupnya dan bukan daripada harta isteri kerana ia bukan kewajipan bagi isteri. (Ibid)

Datuk Seri Harussani Zakaria pula menganggap perkahwinan misyar sebagai mengarut kerana kesucian ikatan perkahwinan tidak seharusnya dipermain-mainkan kerana ia adalah satu perjanjian yang dibuat antara wali dan si lelaki untuk mengambil seseorang wanita sebagai isteri. “Perkahwinan misyar tidak boleh dihalalkan kerana sepanjang pengetahuan saya, belum pernah berjumpa dengan amalan perkahwinan seumpama ini tambahan ia lebih teruk daripada mutaah. “Malah, dalam al-Quran sendiri tiada disebutkan amalan misyar. Mutaah diharamkan oleh kerajaan kerana ia menganiaya wanita. (http://kawinkawin.blogspot.com/2008/04/bab-satu-kahwin-misyar.html)

Jadi perkahwinan misyar tidak harus dibolehkan apatah lagi matlamatnya hanya untuk menghalalkan persetubuhan,” katanya. Dalam hubungan ini, sungguhpun ada wanita yang merelakan perkahwinan berkenaan, soalnya di mana maruah wanita apabila dinikahi lelaki semata-mata untuk melepaskan nafsunya. Tidak dapat dibayangkan betapa perkahwinan seumpama itu boleh mengkucar-kacirkan institusi keluarga yang semakin menuju kehancuran. Jika dibenarkan, mudahlah wanita dikahwini dan ditinggalkan begitu saja apabila perkahwinan itu sendiri mengizinkan lelaki untuk meninggalkan isteri berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang nafkah. Beliau berkata, sememangnya amat wajar apabila aktivis hak asasi wanita di rantau Arab membantah keras keputusan Perhimpunan Perundangan Islam yang berpusat di Mekah meluluskan ketetapan untuk membenarkan lelaki Islam sunnah mengamalkan perkahwinan misyar. (Ibid)

Peguam Syariah dan Perunding Keluarga Islam, Prof Madya Noor Awang Hamat, berkata konsep perkahwinan misyar tiada bezanya dengan pelacuran apabila lelaki bebas menikahi mana-mana wanita yang disukainya dan menceraikannya sesuka hati selepas beberapa hari bernikah. Begitu juga sebaliknya, wanita boleh menikahi mana-mana lelaki yang disukainya. Beliau berkata bahawa Misyar bertentangan sama sekali dengan konsep asal perkahwinan yang bertujuan memelihara kesejahteraan wanita dan anak yang dilahirkan. Masyarakat kita tidak boleh menerima amalan ini sebab al-Quran sudah menetapkan perkahwinan itu yang berlandaskan mawaddah warrahmah (kasih sayang) yang tidak dapat diperoleh daripada misyar. (Ibid)

Beliau juga mengatakan bahawa perkahwinan misyar mengetepikan hak wanita sebagai isteri tidak terlaksana yang sudah pasti melanggar hukum syarak. Walaupun isteri reda, wanita harus sedar perkahwinan berkenaan sekadar memberikan kepentingan kepada satu pihak semata-mata iaitu suami. Beliau turut berpendapat perkahwinan misyar hanya akan memburukkan lagi keadaan yang dialami wanita hari ini yang diabaikan suami dari segi pemberian nafkah dan tanggungjawab lain. Alasan mengamalkan misyar untuk mengelakkan perzinaan tidak boleh diterima kerana Islam memberikan alternatif lebih baik untuk tujuan berkenaan seperti poligami. Poligami sudah cukup untuk membendung gejala zina, tetapi malangnya masyarakat tidak mendapat maklumat tepat mengenainya menyebabkan poligami dianggap sesuatu yang negatif semata-mata. Keadaan di sini tidak boleh disamakan dengan lelaki di Arab Saudi kerana dari segi kewangan mereka lebih dominan dan akur dengan undang-undang syariah. (Ibid)

Kahwin Melalui Mel Elektronik

Kita sedia maklum bahawa akad perkahwinan dalam Islam adalah dititik beratkan. Menurut pendapat Dr. Muhammad Siddiqi, telah menyatakan bahawa ahli-ahli fiqh telah menegaskan, perkahwinan melalui surat menyurat atau telefon tidak dibenarkan, demikian juga dengan mel elektronik. (Hj Othman Hamzah 2006 : 112)

Perkahwinan dalam Islam adalah merupakan kontrak hukum yang rasmi. Syariah menitik beratkan pengumuman perkahwinan dan tidak mengizinkan sebarang keraguan. Oleh itu, saksi nikah diperlukan.

Jika pihak-pihak yang hendak berkahwin tidak dapat hadir maka mereka boleh melantik wakil. Orang yang akan berkahwin itu hendaklah melantik saudara lelakinya atau saudara perempuannya sebagai wakil. Melantik wakil melalui telefon, faks, atau mel elektronik dibolehkan. Wakil itulah yang harus melakukan ijab dan qabul bagi pihak yang melantiknya.

Oleh itu, perkahwinan melalui mel elektronik tidak sah kerana suatu akad perkahwinan itu memerlukan saksi dan saksi itu perlu hadir semasa akad dijalankan. (Ibid :)

Penceraian Melalui Mel Elektronik atau Sistem Pesanan Ringkas (SMS)

Penceraian ialah perkara yang dibenarkan di dalam Islam. Namun, ia merupakan perkara yang paling dibenci oleh Allah Taala. Syeikh Hamed Al-Ali menyatakan pandangannya bahawa penceraiaan yang bertulis adalah diterima sama ada tulisan itu di atas kertas, sistem pesanan ringkas atau dengan cara lain. tetapi kita hendaklah memastikan bahawa si suamilah yang menulis kata-kata perceraian itu. Jika si suami mengaku bahawa dialah yang menulisnya atau mengirim sistem pesanan ringkas itu, maka perceraian itu dianggap sah. (Ibid : 136-138)

Perceraian secara bertulis adalah sah mengikut pandangan sebahagian ulamak terutama ulama keempat-empat mazhab fiqh. Akan tetapi, sebahagian mereka berpendapat bahawa perceraian itu diterima walaupun si suami tidak berniat menceraikan si isteri. Sebahagian yang lain pula berpendapat perceraian itu tidak boleh diterima melainkan perceraian itu memang diniatkan, kerana sebab perceraian itu adalah merupakan perceraian yang meragukan. (Ibid)

Pandangan yang terakhir itu dipegang oleh Imam Abu Hanifah, Malik dan Al-Shafie. Mereka berpendapat bahawa menulis mungkin bertujuan menguji penanya atau hendak menambah baik tulisan tangannya atau hendak menyebabkan keluarganya sedih, jadi tulisan itu berlaku tanpa niat. (Ibid)

Dua perkara penting yang perlu dilihat dan dinilai apabila suatu perceraian itu dilakukan dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas ataupun mel elektronik adalah:

1. Jika si suami mengaku bahawa dialah yang mengarang surat perceraian itu maka perceraian itu dianggap sah dan dikira bercerai dengan talak satu.

2. Jika si suami tidak mengakuinya atau dia sedang bermusafir dan tidak dapat dihubungi, sedangkan si isteri menerima mel elektronik atau sistem pesanan ringkas, maka kita mengambil fatwa fiqh yang menyatakan: “kepastian tidak boleh dihapuskan dengan perasaan ragu semata-mata”

Jadi, perkahwinan itu tidak boleh dibatalkan melainkan dengan adanya dua orang saksi yang adil dan yang membuktikan bahawa si suamilah yang mengirimkan kata-kata perceraian itu. Sekiranya tidak ada dua orang saksi yang adil dan si suami tidak mengaku menghantar SMS itu, maka perkahwinan itu masih sah. (Ibid)


Ijtihad Semasa Berkaitan Muamalat

Pinjaman Membeli Kereta Dibenarkan Oleh Sebab Keperluan

Riba ialah sebarang tambahan secara kontrak dalam hal pinjam meminjam. Riba adalah haram dan dianggap salah satu daripada dosa besar dan perbuatan itu melanggar perintah Allah. Jika dilihat riba dari sudut keperluan, hendaklah dinyatakan bahawa keperluan itu benar-benar wujud. Contoh yang paling mudah tentang keperluan ini ialah dalam hal kelaparan dan tiada makanan yang dapat diperoleh melainkan dengan pinjaman yang berasakan riba. (Al-Muqari Hj Othman Hamzah 2006 : 307-308)

Dalam hal kereta yang diperlukan untuk bekerja mungkin terdapat keperluan dan membenarkan pinjaman dibuat dengan membayar faedah. Tetapi untuk menunjukkan keperluan itu betul-betul ada, kita perlu melihat kepada beberapa syarat:

1. Kereta itu merupakan satu-satunya kenderaan yang diperlukan untuk tiba di tempat kerja.

2. Pendapatan daripada pekerjaan itu merupakan satu-satunya sumber pendapatan.

3. Tidak ada cara pembiayaan lain untuk membeli kereta melainkan dengan pinjaman berasakan riba.

Nilai kereta itu hendaklah yang serendah-rendahnya, besarnya jumlah pinjaman hendaklah paling minimum setelah tiada lagi sumber lain dan sebagainya telah diusahakan. (ibid)


PENUTUP

Keperluan masyarakat Islam pada hukum Islam semasa sentiasa wujud mengikut perubahan masa. Kegagalan memenuhi tuntutan ini, akan menyebabkan pengaruh hukum Islam akan menjadi pudar.

Era pembangunan yang dialami oleh masyarakat Islam telah menimbulkan pelbagai persoalan yang baru dalam kehidupan. Dan persoalan ini perlu dijawab berasaskan kepada masyarakat yang ada pada sekarang.

Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kepada umat Islam seluruhnya untuk mencari jawapan baru kepada persoalan-persoalan baru yang bersesuaian dengan keadaan setempat tanpa membelakangkan hukum-hukum fiqh sebagai asas mengistinbatkan hukum.

Dengan adanya para mujtahid pada zaman ini akan dapat menyelesaikan persoalan semasa bagi memenuhi keperluan masyarakat pada hari ini.

RUJUKAN

Al-Quran

A.Hanafi.1988. Usul Fiqh. Selangor: Klang Book Centre.

Abdul Latif Muda Dan Rosmawati Ali. 1997. Pengantar Usul Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Dr. Basri Bin Ibrahim Al-Hassani Al-Azhari. 2004. Pemindahan Organ Dalam Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia, Terbitan Al-Hidayah Publishers. Dicetak Oleh Percetakan Putrajaya Sdn.Bhd.

Dr. Kassim Salleh (1989), Ijtihad Sejarah Dan Perkembangannya, Penerbit Al- Rahmaniah,

Http://Drhasanah.Com/2006/Wacana-Nikah-Misyar-Anjuran-Jemaah-Islah-Malaysia-Jim/.

Http://Www.Ikim.Gov.My/V5/Index.Php?Lg=1&Opt=Com_Article&Grp=2&Sec=&Key=928&Cmd=Resetall.

Syeikh Al-Muqari Hj Othman Hamzah. 2006. Fatwa Menempuh Kehidupan Moden. Terbitan Daud Baharum Subang Jaya. Cetakan Gading Kreatif Petaling Jaya.

Ustaz Zawavi Bin Zainal Abidin. (2006). Nota Kuliah Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS).

Yusuf Al- Qardawi. Terjemahan Oleh Dr. Achmad Syathori. (1987). Ijtihad Dalam Syariat Islam. Thinker’s Library Sdn Bhd.

Yusuf Al-Qaradawi. (1998). Hawl Zawaj Al-Misyar. Majallah Al-Mujtama’ Al-Kuwaitiyyah. Majallah Al-Syariah.


DISEDIAKAN OLEH:

NORHUDA BINTI OMAR

NOR AFIZAH BINTI MOHAMED HAMID

FAZIDATHUL AKMA BINTI ABDUL RAHMAN

FAUZIANI BINTI YAHAYA

SITI NAZRATUL AIN BINTI SULAIMAN

NORHIDAYAH BINTI MD. SALEH

MARIATUL QIBTIAH BINTI SELAMAT

8 comments:

  1. sy mohon utk ambil manfaat drpdnya ye...ade exam.mgkin blh digunakan..syukran.=)

    ReplyDelete
  2. mohon untuk disebarkan... :)

    ReplyDelete
  3. bole x kalau sy ambil untuk buat rujukan

    ReplyDelete
  4. Assalam..
    Boleh saya nak dapatkan kajian penuh berbentuk pdf pon ok..sebab saya ada kajian yang memerlukan rujukan halaman..ada manfaat pada kajian anda..kalau tidak keberatan, saya nak kajian anda untuk kajian saya..ini email saya izzatkamaruddin92@gmail.com
    tq

    ReplyDelete