Monday, May 4, 2009

SHAR' MAN QABLANA


TAKRIF SHAR’ MAN QABLANA

Shar’ man qablana adalah hukum yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T. kepada umat-umat terdahulu melalui nabi mereka seperti Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Daud a.s, dan Nabi Isa a.s (Wahbah Zuhaili 2005: 101).
Persoalan yang timbul adalah, adakah syariat yang telah disyariatkan kepada umat-umat terdahulu dituntut untuk diamalkan pada umat Nabi Muhammad s.a.w. ataupun ianya tidak disyariatkan lagi kepada umat Nabi Muhamad s.a.w tetapi hanya disyariatkan untuk umat-umat terdahulu sahaja. Untuk mengetahui persoalan ini ia perlu dilihat kepada pembahagian yang telah dibuat dalam bab ini (Wahbah Zuhaili 1998: 867).

PEMBAHAGIAN SHAR’ MAN QABLANA

Ulama’ telah berselisih pendapat tentang pensyariatannya kepada umat hari ini, oleh itu ulama’ telah membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu:
1- Bahagian yang pertama adalah hukum-hukum yang telah disyariatkan kepada umat terdahulu, tetapi tidak disebut di dalam syariat umat hari ini samaada di dalam Al-Quran mahupun Sunnah. Dalam bahagian yang pertama ini semua ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa ianya tidak disyariatkan kepada umat hari ini walaupun ianya disyariatkan kepada umat terdahulu (Wahbah Zuhaili 2005: 101).

2- Bahagian kedua pula adalah hukum-hukum yang disebut di dalam Al-Quran ataupun Sunnah dan ianya dengan jelas menunjukkan kefardhuan kepada umat hari ini sepertimana yang telah difardhukan kepada umat terdahulu. Dalam bahagian ini, ulama’ telah bersepakat bahawa ianya menjadi kefardhuan kepada umat hari ini, seperti ibadah puasa sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah di dalam surah Al-Baqarah iaitu :
يأيها الذين ءامنو كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan kepadamu untuk berpuasa seperti yang telah diwajibkan kepada umat terahulu dari kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa”.
(Surah Al-Baqarah 183:2)
Berdasarkan ayat di atas ini menunjukkan bahawa apa yang disyariatkan kepada umat terdahulu juga ada juga yang disyariatkan kepada umat hari ini (Abdul Karim Zaidan 1992: 260).

3- Bahagian ketiga pula adalah hukum yang dinyatakan oleh Allah Taa’la di dalam Al-Quran atau dinyatakan oleh Rasulullah di dalam hadithnya akan tetapi disana juga terdapat ayat lain yang menasakhkan hukum tersebut kepada umat hari ini. Ini bermakna bahawa hukum tersebut hanya dikhususkan untuk umat-umat terdahulu, bahagian ini juga telah disepakati oleh ulama bahawa ianya tidak disyariatkan kepada umat hari ini. Seperti contoh ayat dalam surah Al-Anaam.

وعلى الذين هادوا حرمنا كل ذى ظفر ومن البقر والغنم حرمنا عليهم شحومهمآ إلا ما حملت ظهورهمآ أو الحوايآ أو ما اختلط بعظم ذلك جزيناهم ببغيهم وإن لصادقون.
Maksudnya:
Dan kepada orang-orang yahudi kami haramkan segala binatang yang berkuku satu, sapi dan domba, Kami haramkan untuk mereka lemaknya, selain lemak yang ada di punggungnya atau di perut atau yang bercampur dengan tulangnya itulah hukuman kami kepada mereka, disebabkan kedurhakaan mereka sesungguhnya kamilah yang benar”
(Surah Al-Anaam 146:6)

Hukum dalam ayat diatas telah dinasakhkan dengan ayat ini.
قل لآ أجد فى مآ أوحي إلى محرما على طاعم يطعمه إلآ أن يكون ميتة أو دما مسفوحا أو لحم خنزير فإنه رجس أو فسقا أهل لغير الله به, فمن اضطر غير باغ ولا عاد فإن ربك غفور رحيم.
Maksudnya:

Katakanlah tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku bahawa ada yang terlarang untuk dimakan oleh orang yang hendak memakannya selain dari bangkai, darah yang mengalir, daging babi sebab sungguh kotor atau apa-apa kejahatan yang disembelih selain nama Allah. Tetapi siapa yang dalam keadaan terpaksa tidak sengaja melakukan kesalahan dan melanggar hukum maka tuhanmu maha pengampun dan maha penyayang”
(Surah Al-Anaam 145:6)
Begitu juga dalam hadith Nabi s.a.w, yang menyatakan dan menunjukkan apa yang diharamkan kepada umat terdahulu telah dihalalkan kepada umat hari ini.
Selain itu, pengharaman untuk mengambil ghanimah atau harta rampasan perang kepada umat terdahulu juga telah dihalalkan kepada umat hari ini seperti yang terdapat didalam hadith Nabi s.a.w.

وأحلت لى الغنائم ولم تحمل قبلي
Maksudnya:
“Dan aku menghalalkan kepada kamu ghanimah yang kamu tidak boleh ambil sebelum ini”.

Hadith ini menunjukkan bahawa apa yang telah dilarang kepada umat terdahulu telah dihalalkan kepada umat hari ini. (Abdul Karim Zaidan 1992: 261).

4- Hukum-hukum yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran atau di dalam Hadith Rasulullah S.A.W yang disayariatkan kepada umat sebelum ini tetapi tidak terdapat dalil yang menunujukkan bahawa ianya disyariatkan kepada umat hari ini ataupun tidak. Begitu juga tidak terdapat ayat yang menasakhkan hukum tersebut. Terdapat perselisihan ulama tentang perkara ini. Contohnya ayat qisas dalam syariat Yahudi yang terdapat didalam Al-Quran iaitu:

وكتبنا عليهم فيهآ أن النفس بالنفس والعين بالعين والأنف بالأنف والأذن بالأذن والسن بالسن والجروح قصاص, فمن تصدق به فهو كفارة له, ومن لم يحكم بمآ أنزل الله فأولآئك هم الظالمون.
Maksudnya:
Dan telah kami perintahkan didalamnya bahawa jiwa dibayar dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, dan gigi dengan gigi bahkan luka pun ada balasannya, barang siapa yang dengan rela menjalankan hukum itu menjadi tebusan dosa baginya. Barangsiapa yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah itulah orang-orang yang melanggar peraturan.
(Surah Al-Maidah 45:5)
Begitu juga dalam kisah pembahagian air antara Nabi Soleh a.s. dengan kaumnya seperti di dalam Al-Quran iaitu:
ونبئهم أن الماء قسمة بينهم, كل شرب محتضر
Maksudnya:

Dan sampaikanlah kepada mereka, bahawa air itu dibahagi antara mereka, setiap yang berhak minum itu dapat hadir.
(Surah Al-Qamar 28:45)


Untuk bahagian yang terakhir ini terdapat perselisihan pendapat dikalangan ulama’ samaada ianya menjadi syariat kepada umat terdahulu sahaja ataupun tidak. (Wahbah Zuhaili 2005: 102)

KEHUJAHAN SHAR’ MAN QABLANA

Dalam masalah syar’ man qablana ini, ulama’ telah berselisih pendapat pada bahagian yang terakhir iaitu pada bahagian yang keempat. Dalam bahagian ini terdapat dua pendapat ulama iaitu golongan yang berhujah dengannya dan golongan yang tidak berhujah dengannya.
Pandangan pertama adalah pandangan jumhur Hanafi, Maliki, termasuklah sebahagian Syafii dan Ahmad mengatakan bahawa perkara yang telah disahkan sebagai syariat sebelum ini, maka ianya juga menjadi syariat kepada kita sekiranya ia telah disyariatkan kepada kita melalui wahyu kepada Rasulullah S.A.W maka beramal dan mengikutnya adalah wajib kepada mukallaf.
Manakala pendapat kedua pula adalah daripada sebahagian daripada Syafii, Asyairah, Mu’tazilah, dan Syiah telah menyatakan bahawa perkara yang disyariatkan kepada umat terdahulu tidak disyariatkan kepada kita. (Wahbah Zuhaili 2005: 102)

Hujah Golongan Pertama
Golongan pertama iaitu pandangan jumhur Hanafi, Maliki, termasuklah sebahagian Syafii dan Ahmad berhujah bahawa kesemua syariat yang telah diturunkan oleh Allah Taala, selagi mana tidak ada ayat yang menasakhkan hukum tersebut maka ianya wajib diamalkan oleh umat hari ini dan boleh dijadikan sumber rujukan hukum.

1- Hujah mereka yang pertamanya adalah seperti mana yang difirmankan oleh Allah Taala di dalam Al-Quran iaitu:
أولئك الذين هدى الله فبهداهم اقتده
Maksudnya:
Itulah orang-orang yang dipimpin Allah, oleh itu turutilah pimpinan mereka.
(Surah Al-Anaam 90:6)

Berdasarkan kepada ayat di atas ianya menunjukkan bahawa Allah Taala memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengikut petunjuk mereka iaitu syariat yang telah disampaikan oleh Nabi-Nabi terdahulu kepada umatnya kerana pada syariat tersebut adanya sebahagian daripada petunjuk yang merangkumi iman dan perundangan yang diamalkan oleh umat terdahulu. Oleh itu golongan pertama berhujah bahawa mesti beramal dengan hukum-hukum tersebut. (Wahbah Zuhaili 1998: 873)


2- Hujah yang kedua pula adalah berdasarkan kepada firman Allah Taala iaitu
ثم أوحينا إليك أن اتبع ملة إبراهيم حنيفا

Maksudnya:
Kemudian kami wahyukan kepada engkau: hendaklah engkau mengikut kepercayaan Ibrahim yang lurus.
(Surah An-Nahl 123:16)

Berdasarkan kepada ayat diatas, ianya menjelaskan bahawa Allah Taala telah memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengikut millah Ibrahim a.s yang mana millah tersebut adalah apa yang telah disyariatkan kepada Nabi Ibrahim a.s., dan perintah ini dalam bentuk suruhan maka ianya adalah wajib untuk diikuti. (Wahbah Zuhaili 1998: 873)


3- Hujah yang ketiga pula adalah berdasarkan kepada firman Allah Taala iaitu
شرع لكم من الدين ما وصى به نوحا والذين أوحينا إليك وما وصينا به إبراهيم وموسى وعيسى أن أقيموا الدين ولا تتفرقو فيه.

Maksudnya:
Dia telah menetapkan agama kepadamu apa yang telah diperintahkanNya kepada Nuh, dan apa yang kami wahyukan kepada engkau dan yang kami perintahkan kepada Ibrahim, Musa, dan Isa, bahawa tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah di dalamnya.
(Surah As-Syura 13:26)


Berdasarkan kepada ayat diatas, ianya menjelaskan bahawa Allah Taala telah memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengikut apa yang telah diperintahkan kepada Nabi Nuh a.s, Nabi Ibrahim a.s, Nabi Isa a.s untuk menegakkan agama Allah dan Allah melarang daripada berpecah belah. (Wahbah Zuhaili 1998: 873)

4- Hujah yang keempat pula adalah kerana ulama telah menyatakan bahawa wajib qada’ solat fardhu yang telah ditinggalkan berdasarkan kepada hadith Nabi s.a.w iaitu:

من نام عن صلاة أو نسيها فليصلها إذا ذكرها
Maksudnya:
Sesiapa yang tertidur atau terlupa daripada mengerjakan solat maka hendaklah ia mengerjakannya jika mengingatinya.

Kemudian baginda s.a.w menyambung dengan membaca ayat Al-Quran iaitu:

وأقم الصلاة لذكري
Maksudnya:
Tetapkanlah mengerjakan solat untuk mengingatiku.
(Surah Taha 14:20)

Ayat dalam surah Taha ini adalah ayat yang ditujukan kepada Nabi Musa a.s. maka sekiranya syariat nabi terdahulu tidak terpakai oleh Nabi Muhammad s.a.w maka tidak mungkin juga ayat yang dibacakan oleh Nabi s.a.w tadi bermanfaat kepada umatnya. Maka ulama dari golongan pertama ini menyatakan bahawa syariat umat terdahulu turut terpakai kepada umat hari ini berdasarkan kepada hujah ini. (Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001: 142 )

5- Hujah yang kelima pula adalah bahawa Nabi Muhammad s.a.w pernah berhukum dengan berdasrkan kepada syariat nabi yang terdahulu seperti dalam permasalahan yang berlaku iaitu tentang bagaimana hendak dijatuhkan hukuman qisas kepada kesalahan mematahkan gigi, sedangkan hukuman qisas tersebut hanya disyariatkan di dalam Taurat, tetapi didalam Al-Quran Allah ada menyebut iaitu:

إنآ انزلنا التوراة فيها هدى ونور يحكم بها النبيون
Maksudnya:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Taurat yang padanya ada petunjuk dan cahaya yang dijadikan panduan kepada nabi untuk mengeluarkan hukum.
(Surah Al-Maidah 44:5)

Begitu juga dengan ayat ini iaitu:

وكتبنا عليهم فيهآ أن النفس بالنفس والعين بالعين والأنف بالأنف والأذن بالأذن والسن بالسن والجروح قصاص, فمن تصدق به فهو كفارة له, ومن لم يحكم بمآ أنزل الله فأولآئك هم الظالمون.
Maksudnya:
Dan telah kami perintahkan didalamnya bahawa jiwa dibayar dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, dan gigi dengan gigi bahkan luka pun ada balasannya, barang siapa yang dengan rela menjalankan hukum itu menjadi tebusan dosa baginya. Barangsiapa yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah itulah orang-orang yang melanggar peraturan.
(Surah Al-Maidah 45:5)
Oleh itu nabi telah merujuk kepada apa yang telah disyariatkan oleh Allah kepada umat terdahulu untuk menyelesaikan masalah qisas pada gigi, ini menunjukan bahawa syariat umat terdahulu boleh dijadikan sebagai salah satu daripada sumber hukum. (Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001: 142 )

6- Hujah yang keenam pula adalah tentang Rasul yang diutuskan oleh Allah yang hanya bertindak sebagai penyampai risalah Allah Taala. Oleh itu tidak ada bezanya antara seorang rasul dengan rasul yang lain dari segi syariat yang dibawa oleh mereka. Maka syariat yang diamalkan rasul sebelumnya turut diamalkan oleh selepasnya selagi tidak ada dalil yang menasakhkan hukum tersebut. Ini berdasarkan kepada dalil Al-Quran iaitu:

لا نفرق بين أحد من رسوله
Maksudnya:
Kami tidak membezakan-bezakan seorang pun antara utusan-utusan tuhan.
( Surah Al-Baqarah: 285/2)

Ini bermakna syariat terdahulu juga diiktiraf oleh Allah, Rasul hanya diutuskan untuk menjelaskan perkara tersebut, oleh itu tiada beza antara seorang rasul dengan rasul yang lain. Oleh itu apa yang disyariatkan kepada umat terdahulu diperakui sehinggalah terdapat ayat lain yang menasakhkan hukum tersebut. (Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001: 142 )

7- Hujah yang ketujuh pula adalah pernah berlaku satu ketika Ibnu Abbas membaca Al-Quran pada Surah Shaad, ketika mana sampai bacaannya pada ayat ini iaitu:

وظن داود أنما فتناه فاستغفر ربه وخرا راكعا وأناب.
Maksudnya:
Dan Daud itu menyangka bahawa kami mengujinya maka dia memohonkan ampunan dan tunduk merendahkan diri serta kembali kepada tuhannya.
(Surah Shaad 24:38)
Ketika sampai pada ayat ini Ibnu Abbas beliau telah sujud, kemudian beliau menyatakan dengan membaca ayat Al-Quran iaitu:

أولئك الذين هدى الله فبهداهم اقتده.
Maksudnya:
Itulah orang-orang yang dipimpin Allah, oleh itu turutilah pimpinan mereka.
(Surah Al-Anaam 90:6)
(Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001: 142 )

Hujah Golongan Kedua
Manakala pendapat kedua pula adalah daripada sebahagian daripada Syafii, Asyairah, Mu’tazilah, dan Syiah telah menyatakan bahawa perkara yang disyariatkan kepada umat terdahulu tidak disyariatkan kepada kita. (Wahbah Zuhaili 2005: 101) Antara hujah golongan ini adalah:

1- Sesungguhnya ketika Nabi Muhammad s.a.w ketika mengutuskan Saiyidina Muaz r.a ke Yaman sebagai kadhi, Baginda telah bertanya kepada Muaz tentang kaifiat Muaz hendak menghukumkan sesuatu seperti dalam hadith Nabi iaitu:

ما روى أن النبي صلى الله عليه وسلم قال لمعاذ: بما تحكم. قال: بكتاب الله. قال: فإن لم تجد؟ قال: بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم. قال: فإن لم تجد؟ قال: اجتهد رأيى ولا آلو فقال النبي عليه السلام: الحمد لله الذي وفق رسول رسوله صلى الله عليه وسلم لما يحبه ويرضاه رسول الله.
(رواه أحمد وابو داؤد)

Maksudnya:
Bagaimana nanti kamu hendak memutuskan hukum sesuatu permasalahan yang dibawa kepada kamu? Lalu Muaz menjawab saya akan berhukum dengan Kitab Allah, Nabi bertanya lagi sekiranya tiada dalam kitab Allah? Jawab Muaz saya akan berhukum mengikut Hadith Nabi s.a.w, Nabi bertanya lagi sekiranya tiada dalam sunnah? Maka saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut atau membenarkan begitu sahaja lalu Nabi menepuk dada sambil bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah kearah sesuatu yang diredhai Rasulullah.

Berdasarkan kepada hadith tersebut ianya menunjukkan bahawa Nabi s.a.w tidak menyuruh Muaz untuk merujuk kepada syariat umat terdahulu jika sesuatu permasalahan itu tidak dapat diselesaikan, tetapi hanya sekadar brijtihad. Jika sekiranya syariat umat terdahulu merupakan salah satu sumber hukum sudah pasti Nabi s.a.w akan menyuruh Muaz untuk merujuk kepada syariat umat terdahulu selepas merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah (Wahbah Zuhaili 1998: 875).

2- Hujah yang kedua pula adalah berdasarkan kepada firman Allah taala iaitu:
لكل جعلنا منكم شرعة ومنهاجا
Maksudnya:
Untuk masing-masing Kami buatkan aturan dan jalan.
(Surah Al-Maidah 48:5)

Berdasarkan ayat di atas ianya menunjukkan bahawa untuk setiap bangsa atau umat itu ada aturan tersendiri yang sesuai dengan keadaan dan kepentingan masing-masing, tetapi Al-Quran dapat menjamin segala kepentingan-kepentingan dan kerana itu dapat dijadikan pedoman oleh segenap lapisan umat manusia. Oleh itu, setiap umat itu mesti mengikut segala yang telah disyariatkan kepada mereka sahaja, bukan mengikut perkara yang telah disyariatkan kepada umat yang terdahulu daripada mereka. Maka apa yang disyariatkan kepada umat terdahulu tidak diamalkan oleh umat hari ini. (Wahbah Zuhaili 1998: 875

3- Hujah yang ketiga bagi golongan yang menolak kehujahan shar’ man qablana pula adalah sekiranya ianya diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu mengamalkan syariat umat terdahulu maka sudah tentulah umat Nabi Muhammad s.a.w diwajibkan untuk mempelajarinya, begitu juga dengan mujtahid dalam kalangan para sahabat baginda akan membahaskan dan bertanyakan tentang perkara-perkara yang berlaku dan bertentangan antara syariat terdahulu dengan syariat hari ini sesama mereka, serta ianya juga akan menjadi salah satu daripada rujukan Nabi Muhammad s.a.w. akan tetapi kesemua ini tidak berlaku dan ini menunjukkan bahawa tidak perlu berhujah dengan shar’ man qablana (Wahbah Zuhaili 1998: 876)

4- Hujah yang keempat bagi golongan yang menolak kehujahan shar’ man qablana pula adalah, bahawa syariat umat terdahulu dikhususkan kepada umat terdahulu sahaja, manakala syariat umat Nabi Muhammad s.a.w adalah disyariatkan kepada umum iaitu kepada semua kaum dan bangsa yang ada di atas muka bumi ini. Ini berdasarkan kepada beberapa firman Allah antaranya:
ولقد أرسلنا نوحا إلى قومه إني لكم نذير مبين.

Maksudnya:
Sesungguhnya kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya, mengatakan sesungguhya aku adalah pemberi peringatan yang terang untuk kamu.
(Surah Hud 25:11)


ولقد أرسلنا موسى بآياتنآ أن أخرج قومك من الظلمات إلى النور وذكرهم بآياة الله ان في ذلك لاياة لكل صبار شكور.
Maksudnya:
Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Musa membawa keterangan-keterangan kami, bahawa hendaklah kamu keluarkan kaummu dari kegelapan kepada cahaya terang dan peringatkan kepada mereka hari-hari Allah, sesungguhnya hal itu menjadi keterangan bagi setiap orang yang teguh hati dan berterima kasih
(Surah Ibrahim 5:14)

ورسولا إلى بني إسرآءيل....
Maksudnya:

Dan dia menjadi Rasul untuk anak-anak Israil….
(Surah Ali Imran 49:3)

Berdasarkan kepada tiga ayat yang dinyatakan di atas ia menerangkan bagaimana Nabi Nuh a.s, Nabi Musa a.s, dan Nabi Isa sebenarnya diutuskan khas kepada umat tertentu sehaja, sedangkan Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk seluruh umat manusia tidak kira dimana sekalipun sehingga hari kiamat, dan ianya dikuatkan lagi dengan hadith Nabi s.a.w iaitu
وكان كل نبي يبعث إلى قومه خاصة وبعثت إلى الناس عامة

Maksudnya:
Sesungguhnya nabi-nabi itu diutuskan untuk kaum tertentu, tetapi aku diutuskan untuk semua manusia.


Oleh itu apabila datangnya syariat Nabi Muhammad s.a.w maka ianya menasakhkan syariat-syariat yang terdahulu. Akan tetapi sekiranya nabi sendiri yang mengamalkan sesuatu ajaran atau amalan umat terdahulu maka ianya adalah diiktiraf oleh nabi sendiri dan ianya menunjukkan bahawa hukum tersebut tidak dinasakhkan dan boleh diamalkan. (Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001: 142 )

FURUK FIQH

Apabila adanya perselisihan pendapat, maka sudah tentulah akan adanya perselisihan pada penentuan sesuatu hukum seperti menjadikan manfaat sesuatu sebagai mahar kepada perkahwinan.
Mengikut pendapat Imam Shafie dan Imam Ahmad ianya adalah harus iaitu dibolehkan sepertimana yang pernah berlaku kepada kisah antara Nabi Musa dan Nabi Shuaib sebagaiman yang diceritakan di dalam Al-Quran iaitu:
إني أريد أن أنكحك إحدى ابنتي هاتين على أن تأجرني ثماني حجج فان اتممت عشرا فمن عندك ومآ أريد أن أشق عليك ستجدونى ان شآء الله من الصالحين.
Maksudnya:
Sesungguhnya aku hendak mengahwinkan engkau dengan seorang dari kedua anak perempuanku ini dengan ketentuan, bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun tetapi kalau engkau cukupkan sepuluh tahun itu terserah kepada kemahuanmu sendiri aku tidak akan memberatkan pikulan engkau, jika Tuhan mahu Insyaallah engkau akan mendapati aku termasuk orang-orang yang baik.
(Surah Al-Qasas 27:28)


Mengikut mazhab Hanbali ianya harus walaupun ayat ini menjelaskan tentang syariat Nabi Shuaib a.s dengan mengqiaskannya dengan sewaan (Wahbah Zuhaili 2005: 104). Manakala Imam Malik pula berpendapat ianya tidak harus dijadikan manfaat sebagai mahar akan tetapi jika sudah berlaku akad maka ianya adalah sah. Dan imam Abu Hanifah pula harus jika bukan khidmat suami yang merdeka kepada isteri yang berstatus hamba.
Dalam masalah yang lain pula iaitu pada keutamaan kepada jenis haiwan yang akan dijadikan korban. Dalam permasalahan ini Imam Malik berpendapat bahawa keutamaan haiwan yang akan dijadikan korban adalah kibas kemudian lembu kemudian unta. Sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s ketika mana beliau disuruh mengorbankan anaknya lalu digantikan dengan kibas, maka Imam Malik, dan Imam Abu Hanifah berhujah dengan kisah Nabi Ibrahim yang disuruh menyembelih anaknya sehingga tersebut untuk menentukan keutamaan haiwan tersebut. (Wahbah Zuhaili 1998: 878).


KESIMPULAN

Oleh itu, jelaslah di sini bahawa sharc man qablana merupakan salah satu daripada dalil-dalil yang disepakati dalam usul fiqh. Ini disebabkan terdapat sesetengah ulama’ bersepakat menerima sharc man qablana sebagai dalil manakala yang lainnya menolak. Walaubagaimanapun, dengan pensyariatan sharc man qablana sebagai dalil dalam usul fiqh hal ini telah menyerlahkan lagi kesyumulan dan kehebatan Islam sebagai agama yang suci dan agama rahmat yang mana ia bersifat tetap dan anjal pada perkara tertentu.









RUJUKAN

1- Abdul Karim Zaidan. 1992. Al-Wajiz Fi Usul Fiqh. Qaherah: Darul Tauziq Wa An-Nashr Al-Islamiah,
2- Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar. 2001. Al-Wadhih Fi Usul Fiqh. Dar As-Salam
3- Wahbah Zuhaili. 2005. Al-Wajiz Fi Usul Fiqh. Beirut: Darul Fikr
4- Wahbah Zuhaili. 1998. Usul Fiqh Al-Islami. Juzu’2. Damshik: Darul Fikh

Sunday, May 3, 2009

ijtihad

PENGENALAN

Setiap manusia perlukan sesuatu untuk menentukan ketetapan masing-masing. Ada ssetengahnya berijtihad untuk menentukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan. Disamping itu ia dilakukan dengan segala akal pemkiran dan kesungguhan untuk mendapatkan sesuatu hukum syarak mengenai sesuatu masalah dengan jalan istinbat daripada Al-Quran dan Hadis.
Lapangan ijtihad pula mestilah kejadian yang tiada nas syarak yang jelas tentang hukumnya. Manakala mujtahid pula ialah ahli fekah yang mencurahkan kesungguhan dan ketekunan untuk mendapatkan hukum syarak daripada sesuatu dalil terperinci atau tafsili daripada dalil-dalil syariat.
Kesan perkembangan dan kelahiran tokoh baru telah memberi ruang yang baik kepada umat Islam, dimana walaupun sesebuah negara telah menetapkan sesuatu aliran mazhab di negara mereka.
Ijtihad merupakan perkara yang penting di dalam pembinaan hukum. Ijtihad sentiasa berkembang mengikut kesesuaian masa, keadaan dan tempat. Oleh itu ijtihad merupakan suatu kehujahan dalam pembinaan hukum kerana ijmak juga berdasarkan ijtihad dan ijtihad itu sendiri diharuskan oleh syarak.


PENGERTIAN IJTIHAD

Ijtihad mempunyai dua pengertian iaitu dari segi bahasa dan istilah.
Pada bahasa:
Menurut bahasa ia mempunyai beberapa maksud (Abd Latif Muda et.al 1997: 256):
a. Ijtihad berasal daripada kata ijtihada (اجتهد), yang bermaksud menggunakan tenaga sepenuhnya.
b. Bersungguh-sungguh dalam sesuatu perbuatan atau pekerjaan.
c. Menggunakan segala kemampuan.

Di dalam kitab Al-Wajiz fil Usul Fiqh, ijtihad dari segi bahasa ialah kekuatan dan keupayaan di mana dengan berusaha besungguh-sungguh dan mengerah seluruh tenaga untuk mencapai sesuatu. (Abd Karim Zaidan 2006: 317)

Pengertian Istilah

Ijtihad menurut istilah pula, ialah (Abd Wahhab Khallaf 1995: 256):

a. Mencurahkan tenaga sepenuhnya dan sebanyak mana untuk mendapatkan hukum syarak yang berbentuk amali dengan cara istinbat daripada dalil-dalil dan sumber syarak.
b. Mencurahkan segala tenaga untuk mendapatkan hukum syarak daripada sesuatu dalil yang terperinci atau tafsili dari dalil-dalil syariat.
c. Usaha seseorang mujtahid dengan mengerah segala kemampuan yang ada untuk memperolehi hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf melalui cara yang ditetapkan oleh syarak.

Di dalam kitab Al-Wajiz fil Usul Fiqh, ijtihad bermaksud mengerahkan sepenuh usaha dan tenaga untuk mendapatkan hukum syarak.


RUKUN IJTIHAD

Terdapat tiga rukun ijtihad iaitu (Abd Karim Zaidan 2006: 317):

1. Al-Mujtahid, iaitu orang yang berijthad
2. Al-Mujtahad fih, iaitu usaha
3. Ijtihad

HUKUM BERIJTIHAD

Ulama bersepakat mengatakan harus berijtihad dalam mengeluarkan hukum apabila cukup syarat tertentu. Hukum harus bermula dengan sejarah ijtihad para ulama berdasarkan hadis Muaz bin Jabal ketika beliau diutuskan menjadi wakil di Yaman. Sebagaimana hadis yang diriwayat oleh Ahmad dan Abu Daud:

ما روى أن النبي (ص) قال لمعاذ : لما تحكم؟ قال بكتاب ألله تعالى , قال : فان لم تجد؟ قال : بسنة رسول ألله (ص) , قال : لم تجد؟ قال :اجتهد رأيى ولا آلو. فقال النبي عليه السلا الحمدلله الذي وفق رسول ألله (ص) لما يحبه ويرضاه فان رسول ألله .
(رواه أحمد و ابو دأود)

Maksudnya:

“Bagaimanakah nanti engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa kepada engkau sesuatu permasalahan? Muaz menjawab:’ Saya akan memutuskan hokum berdasarkan Kitab Allah S.W.T.’ Nabi bertanya lagi,’ Sekiranya kamu tidak mendapati didalam Kitab Allah?’ Jawab Muaz.’ Saya akan memutuskan berdasarkan Sunnah.’ Tanya Nabi lagi,’ Sekiranya engkau tidak menemui didalam Sunnah?’ Muaz menjawab,’ Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut. Nabi pun menepuk dada sambil bersabda,’ Segala puji bagi Allah yang telah member taufiq kepada utusan Rasulullah S.A.W. ke arah sesuatu yang diredhainya.” (Abd Latif Muda et.al 1997: 256)

(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)


DALIL HARUS BERIJTIHAD


Melalui ijtihad, hukum Islam terus berkembang sesuai dengan tempat, masa dan keadaan. Selain itu, dengan ijtihad juga terbentuknya qiyas dan ijmak ulama. Justeru, ijtihad adalah diharuskan dan suatu amalan terpuji. (Abd Latif Muda et.al 1997: 258)
Terdapat beberapa dalil sabit harus berijtihad, antaranya ialah:
1. Sebagaimana Firman Allah S.W.T :

   

Maksudnya: “ Maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.”
(Surah Al-Hasyr ayat 2)

2. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

اذا اجتهد الحاكم واصاب فله اجران واذا اجتهد فأخطأ فله اجرا واحد
(رواه البخارى ومسلم)

“Apabila seseorang hakim menjatuhkan hukuman lalu ia berijtihad dan didapati apa yang ia ijtihadkan itu benar, maka ia mendapatkan 2 pahala, sekiranya pula ia menjatuhkan hukuman dan berijtihad serta salah maka ia mendapat satu pahala sahaja.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


SYARAT-SYARAT MUJTAHID

Seseorang ahli ijtihad dan mujtahid itu mestilah mempunyai serta memenuhi syarat seperti berikut(Abd Wahhab Khallaf 1995: 259):

1. Islam dan bersifat adil.
2. Baligh.
3. Mengetahui nas dan dalil yang berkaitan dengan hukum hakam walaupun tidak menghafalnya.
4. Mengetahui tentang dalil akal dan kehujahannya.
5. Mengetahui tentang al-Quran dan hadis beserta makna-maknanya dari sudut bahasa dan syariat.
6. Mengetahui tentang qiyas iaitu merangkumi illah, hikmat, kemaslahatan masyarakat serta ’urf.
7. Mampu mengetahui mengenai masalah-masalah ijmak serta tempat-tempat berlaku ijmak. Ini kerana agar mereka tidak mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengannya.
8. Mengetahui serta memahami bahasa Arab dengan baik dan sempurna agar dapat mentafsirkan al-Quran dan Hadis dengan baik serta dalam mengistinbatkan hukum.
9. Mengetahui tentang nasikh mansukh daripada al-Quran dan Hadis.
10. Mengetahui ilmu Usul Fiqh kerana ia merupakan asas dalam berijtihad dan istinbat hukum.
11. Mempunyai kefahaman yang baik supaya dapat membezakan antara pendapat yang benar dan yang salah.
12. Mengetahui tentang sebab nuzul ayat dan sebab datangnya hadis atau asbab wurud hadis serta syarat hadis mutawatir dan Ahad.


PERINGKAT HUKUM BERIJTIHAD

Para ulama telah membahagikan pula tuntutan ijtihad kepada beberapa bahagian, iaitu(Abd Latif Muda et.al 1997:258):

1. Ijtihad fardu ain
2. Ijtihad fardu kifayah
3. Ijtihad sunat
4. Ijtihad haram


Ijtihad Fardu Ain

Ijtihad ini adalah ijtihad yang wajib dilakukan oleh seseorang atau individu tertentu yang mempunyai kemampuan dan kelayakan serta tiada orang lain lagi selain dirinya untuk menyelesaikan masalah dan perkara yang berkaitan dengan masalah hukum sama ada masalah dirinya mahupun masyarakat. Ijtihad fardu ain terbahagi pula kepada dua jenis (Abd Latif Muda et.al 1997: 258):

i. Ijtihad yang dilakukan oleh seseorang mujtahid terhadap sesuatu hukum dan permasalahan yang ditanya oleh masyarakat atau individu tertentu dan tiada orang lain lagi yang layak berijtihad kecuali dirinya sahaja.

ii. Ijtihad dilakukan oleh seseorang mujtahid dalam sesuatu masalah hukum untuk dirinya sendiri atau tanpa pertanyaan oleh masyarakat dan individu lain.


Ijtihad Fardu Kifayah

Ijtihad fardu kifayah adalah ijtihad yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kelayakan berijtihad. Tetapi, selain dirinya terdapat orang lain yang berkelayakan untuk berijtihad bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan hukum. Oleh itu, berijitihad baginya menjadi fardu kifayah apabila dia yakin ada orang lain yang masih mampu menyelesaikan masalah hukum. Terdapat dua jenis ijtihad ini, iaitu(Abd Latif Muda et.al 1997: 261) :
i. Seseorang mujtahid yang diajukan kepadanya tentang permasalahan dan masih ada orang lain atau mujtahid lain yang mampu berijtihad. Walaupun begitu, jika dia meninggalkan atau tidak menyelesaikan masalah itu, maka tidak ada orang yang akan berijtihad.

ii. Seseorang mujtahid yang ragu-ragu denagn ijtihad mujtahid lain dan ia cukup syarat sebagai mujtahid, maka ketika itu menjadi fardu kifayah bagi dirinya untuk berijtihad terhadap hukum dan permasalahan yang diajukan itu.


Ijtihad Sunat

Ijtihad yang merupakan ijtihad untuk menyelesaikan masalah hukum-hakam yang mana ijtihad itu dilakukan oleh seseorang yang memenuhi syarat berijtihad untuk menyelesaikan perkara dan masalah yang akan berlaku. Ijtihad sunat ini ada beberapa jenis, seperti(Abd Latif Muda et.al 1997: 260) :
i. Seseorang mujtahid yang berijtihad dalam sesuatu masalah yang ditanya oleh individu atau masyarakat mengenaia hokum. Namun begitu, perkara atau permasalahan yang ditanya itu belum berlaku dan belum wujud ketika itu.
ii. Seseorang mujtahid yang berijtihad tentang sesuatu masalah dan hokum yang belum berlaku atau tidak berlaku yang mana ia berijtihad tanpa apa-apa faktor atau sebab.


Ijtihad Haram


Ijtihad haram adalah ijtihad yang dilakukan seseorang yang mana caranya bercanggah atau tidak memenuhi syarat mujtahid serta bercanggah dengan nas. (Abd Latif Muda et.al 1997: 261)


MARTABAT IJTIHAD

Berdasarkan ijtihad para ulama dan mujtahid, terdapat empat peringkat bahagian martabat, iaitu: (Abd Latif Muda et.al 1997:262)


1. Ijtihad Mutlak

Ijtihad ini merupakan ijtihad peringkat pertama dan paling tinggi. Ijtihad ini bermaksud ijtihad yang dilakukan seseorang mujtahid dengan berasaskan sumber dan dalil hukum secara langsung iaitu al-Quran dan Hadis. Kemudian, mereka membawa dalil hukum furuk melalui Istihsan, Masalih al-Mursalah serta Sadd al-Zarai’. Ijtihad peringkat ini menggunakan segala pendalilan dan istinbat hukum secara bebas tanpa berpegang kepada mana-mana Imam. Sebagai contoh para sahabat, Abu Bakar dan Umar, tabi’i seperti Sa’id dan para fuqaha mazhab seperti Imam Malik Bin Anas. (Abd Latif Muda et.al 1997: 262)


2. Ijtihad Muntasib

Ijtihad ini adalah ijtihad darjat yang kedua. Ia bermaksud ijtihad yang dilakukan oleh seseorang dengan berasaskan kepada pendapat Imam mazhab tertentu. Mujtahid peringkat ini hanya mengikuti Imam mazhab mereka dalam perkara usul sahaja. Manakala dalam perkara furuk, mereka berselisihan pendapat dengan Imam yang mereka ikuti. Contohnya ijtihad Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hasan daripada pengikut Imam Hanafi. (Abd Latif Muda et.al 1997: 262)


3. Ijtihad Dalam Mazhab

Ini merupakan ijtihad dan mujtahid peringkat ketiga. Ia adalah ijtihad yang dilakukan dengan berasaskan pendapat Imam Mazhab yang mana mereka ikuti dalam perkara usul dan furu’. Dalam keadaan lain, ijtihad dalam mazhab ini, mujtahid mengetahui dan menemui dalil yang menjadi pegangan Imam Mazhab dan mereka yang berkemampuan untuk memilih dan mentakhrijkan atau mengeluarkan pendapat-pendapat Imam mereka yang pelbagai jenis. Dalam masalah yang baru lahir, mereka akan berijtihad berasaskan metode imam mereka. (Abd Latif Muda et.al 1997: 262)


4. Ijtihad Dalam Fatwa

Ijtihad ini adalah ijtihad yang diambil daripada pendapat-pendapat imam mazhab mana-mana pendapat yang kuat atau rajih dan diambil untuk dijadikan fatwa. Mereka juga menilai dan mencari mana-mana pendapat Ashab Imam Mazhab yang berbagai-bagai dan dipilih yang paling sahih riwayatnya, yang paling kuat atau yang paling hampir kepada sahih untuk dijadikan fatwa.
Mujtahid dan ijtihad mempunyai dia peranan utama, iaitu takhrij atau mengeluarkan dalil yang digunakan oleh Ashab Imam Mazhab serta tarjih atau tentukan kedudukan dalil yang digunakan. Mereka dikira bertindak sebagai murajjih terhadap pendapat Imamnya yang berbagai-bagai dan berbeza sebelum mengeluarkan fatwa. (Abd Latif Muda et.al 1997: 262)



SYARAT DAN CARA BERIJTIHAD

Seseorang mujtahid itu mestilah mengikuti cara tertentu untuk berijtihad, seperti berikut(Abd Latif Muda et.al 1997: 263)

1. Mestilah terlebih dahulu meneliti nas yang terkandung dalam al-Quran, kemudian meneliti pula hadis mutawatir dan hadis Ahad dalam penetapan hukum serta menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
2. Sekiranya mujtahid tidak menemui nas yang menjelaskan hukum dalam al-Quran dan hadis, maka mujtahid mestilah berpegang dan mengambil zahir nas al-Quran dan Hadis serta apa yang dapat diambil daripada keduanya itu tentang apa-apa sahaja yang dapat dijadikan pegangan yang berbentuk mantuk dan mafhumnya.
3. Sekiranya mujtahid tidak menemui hukum melalui jalan kedua, ia mestilah meneliti dan menilai segala perbuatan Nabi dan selepas itu taqrir baginda. Selepas itu pula, ia hendaklah berijtihad melalui jalan penetapan hukum cara qiyas dengan berdasarkan illah atau sebabnya.
4. Sekiranya jalan dan cara ketiga juga tidak berhasil sehingga tidak menemui hukum tersebut, mujtahid mesti berpegang pula dengan bara’ah asliyyah.
Selain itu, apabila mujtahid itu menemui dua dalil atau nas yang bertentangan, maka ia hendaklah terlebih dahulu mencari dan menilai serta melihat dalil itu dari sudut ia dapat diterima kedua-duanya sebagai dalil hukum. Ini kerana, dengan berpegang kepada kedua dalil itu adalah lebih baik daripada meninggalkan salah satu daripadanya.



MAKSUD IJTIHAD BI AL-RA’Y


Menurut istilah Ulama usul fiqh, ijtihad ialah mencurahkan seluruh kemampuan untuk mencapai sesuatu kesimpulan hukum syariat secara operasional dari dalil-dalilnya secara terperinci. Dan yang dimaksud dengan bi al-ra’y, menurut mereka adalah dengan menggunakan akal fikiran yang ditunjang dengan peraturan-peraturan yang telah ditunjukkan syariat, sehingga mencapai kesimpulan suatu hukum yang tidak ada nas.

Dengan demikian, ijtihad bi al-ra’y ini dapat disimpulkan, "mencurahkan kemampuan daya fikir di dalam upayanya mencapai suatu kesimpulan suatu hukum yang tidak ada nas nya dengan menggunakan peraturan-peraturan yang ditentukan syariat mengenai masalah tersebut(Abd Latif Muda et.al 1997: 26).

Melakukan ijtihad di dalam suatu khusus yang ada nasnya sekalipun, nas tersebut bersifat zanni diguna untuk menentukan makna yang dikehendaki nas tersebut. Tetapi hal seperti ini menurut ulama usul belum lagi dikatakan sebagai ijtihad bi al-ra’y. Kemudian, melakukan ijtihad terhadap berbagai permasalahan yang tidak ada nas nya tetapi tidak ditunjang dengan peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh syariat, menurut ulama usul juga tidak lagi dikatakan sebagai ijtihad bi al-ra’y.

Akal merupakan medium terpenting ijtihad terhadap permasalahan yang tidak ada nasnya, yang memerlukan bimbingan dengan berbagai peraturan yang telah ditentukan oleh syariat. Hal ini kerana cara tersebut lebih dapat memberikan jaminan terhadap kebenaran kesimpulan dan jauh dari kemungkinan tergelincir, di samping lebih memungkinkan sampai kepada tujuan utama, yakni tercapainya kemaslahatan umat. Pendapat ini merupakan pendapat yang terpuji dan benar, serta sesuai dengan pengertian yang di ungkapkan Muaz bin Jabal ketika ia ditanya oleh Rasulullah saw:


كيف تقضى اٍذا عرض لك قضاء؟ قال معاذ: أقضى بكتاب الله فاٍن لم أجد فبسنة رسول الله فاٍن لم أجد أجتهد رأيى.

Maksudnya:

“Bagaimana engkau akan memutuskan hukum jika ditanyakan perkara kepadamu?” Mu’adz menjawab, “Saya akan memutuskan perkara itu sesuai dengan hukum Allah (Kitabullah). Apabila aku tidak menjumpai di dalam Kitabullah, aku akan memutuskan dengan Sunnah Rasulullah, saya akan melakukan ijtihad dengan kemampuanku”.

Pengertian seperti itu sesuai dengan penyataan Abu Bakar r.a ketika ia menjawab pertanyaan mengenai makna kalalah yang disebut di dalam ayat yang berbunyi, Wa in kana rujulun yuratsu kalalah, kemudian Abu Bakar memberikan jawapan:


أقول فيها برأيى فاٍن كان صوابا فمن الله واٍن كان خطأ فمنى.

Maksudnya :

“Saya akan memutuskan masalah ini dengan pendapatku. Jika ternyata benar, maka bererti kebenaran itu dari Allah. Dan jika keliru, maka kekeliruan itu datang dariku sendiri. Pengertian kalalah ialah ahli waris selain anak dan orang tua, yakni ahli waris yang hanya terdiri dari saudara”.

Kemudian, pendapat akal yang tidak ditunjang dengan peraturan yang ditentukan oleh syariat, maka keputusannya itu banyak dikuasai oleh hawa nafsu dan lebih dekat dengan kekeliruan. Kenyataan ini merupakan gejala yang sangat tercela, sesuai dengan perkataan Umar bin Khaththab:

اٍياكم وأصحاب الرأي.

Maksudnya :

“Hati-hati kalian terhadap ashhabu r’-ra’yi”.

Selain itu, para sahabat juga pernah memberikan peringatan:

من قال فى الشرع برأيه فقد ضل وأضل.

Maksudnya :

“Barang siapa yang menentukan hukum syariat berdasarkan pendapatnya sendiri, maka orang itu tersesat dan menyesatkan”.

Berdasarkan huraian tersebut, jelas bahawa ijtihad bi al-ra’y adalah merupakan salah satu ijtihad secara umum. Sebab, pengertian ijtihad secara umum itu meliputi:

a) Mencurahkan seluruh daya untuk mencapai hukum yang dikehendaki nas yang zanni dalalahnya.

b) Mencurahkan daya fikir untuk sampai pada suatu kesimpulan hukum dengan cara menerapkan kaedah-kaedah syariat yang bersifat kulli.

c) Mencurahkan daya fikir untuk sampai pada suatu kesimpulan hukum yang tidak ada nas dengan cara qiyas atau istihsan atau istishlah atau cara lain yang merupakan peraturan yang telah ditentukan oleh syariat di dalam tangka memutuskan permasalahan yang tidak ada nasnya. (Baharum Abu Bakar et.al 1984:3)


IJTIHAD YANG DIBOLEHKAN TERHADAP PELBAGAI KEJADIAN


Suatu hal yang tidak diperselisihkan lagi oleh para ahli fiqh bahawa Allah swt tidak menciptakan manusia ini dengan sia-sia. Selama ia adalah seorang Muslim, maka ia dibolehkan mengambil peranan aktif di dalam menentukan hukum terhadap kejadian-kejadian yang dihadapi di dalam berbagai kehidupan. Sebab terdapat adanya hikmah bijaksana yang sengaja Allah tidak menentukan seluruh hukum-hukumnya dalam bentuk undang-undang terhadap seluruh kejadian. Tetapi Allah telah menentukan nas hukum di dalam ayat-ayat al-Quran terhadap berbagai kejadian.

Adapun mengenai suatu kejadian atau permasalahan yang hukum dan dalalah nya tegas dan jelas, maka dalam hal ini potensi akal akan tertutup untuk melakukan ijtihad. Dalam hal ini akal dituntut mengikuti selaras dengan hukum yang disebut secara jelas pada nas tersebut.

Di samping itu, hasil ijtihad yang telah lalu tidak akan mempengaruhi hasil ijtihad yang dilakukan saat ini. Dalam hal ini, para ahli fatwa yang terdiri dari sahabat, tabiin, tabi’un dan para mujtahid, sebahagian mereka memberikan fatwa yanng berlainan dengan fatwa sebahagian yang lainnya. Tetapi tidak ada seorang mujtahid pun yang menentang pendapat mujtahid lainnya, lantaran bertentangan dengan fatwa sendiri.

Qiyas adalah saranan utama yang dapat mengantarkan pada suatu keputusan pengambilan hukum. Dan qiyas ini dasarnya diambil dari mengetahui terlebih dahulu illah dinyatakannya suatu hukum pada sebuah nas. Sedang mencari illah suatu hukum dikaitkan dengan kemaslahatan ditetapkannya hukum tersebut yang juga berhubungan dengan objek yang menjadi saranan hukum tersebut. Dengan demikian menetapkan suatu hukum dengan jalan qiyas hasilnya akan berlainan dengan ijtihad yang lainnya sesuai dengan daya mampu akal dan lingkungan yang ada pada mereka masing-masing.


Berlainan pula dengan hasil ijtihad Imam Asy-Syafi’i yang berpendapat bahawa maslahat yang terkandung dalam masalah untuk mencegah agar ia jangan sampai tidak mengetahui masalah pernikahan. Yang menjadi illah di dalam masalah tersebut ialah kerana ia masih perawan. Kerananya Asy-Syafi’i memutuskan masalah perawan tua sama ketetapannya dengan masalah perawan muda. (Baharum Abu Bakar et.al 1984: 3)


ORANG YANG BOLEH MELAKUKAN IJTIHAD


Orang-orang yang dibolehkan melakukan ijtihad bi al-ra’y ialah orang-orang yang dirinya memenuhi syarat dan ahli di bidang ijtihad, di samping mendapat pengakuan dari seluruh ulama Muslim. Seseorang tidak dibolehkan melakukan ijtihad secara sendirian, sekalipun mempunyai keahlian dan bakat dalam suatu bidang. Sejarah telah mencatatkan suatu bukti bahawa terjadinya kekacauan di dalam fiqh Islam selalu bersumber dari adanya ijtihad secra individu. Namun demikian, ijtihad bi al-ra’y juga tidak boleh dilakukan secara kolektif, kecuali jika setiap individu yang terlibat di dalamnya telah memenuhi syarat-syarat sebagai mujtahid. Hal ini juga belum boleh dianggap cukup jika tidak melalui jalan-jalan dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam di dalam upaya ijtihad bi al-ra’y dan pengambilan istinbat hukum yang tidak ada nasnya.

Jika ijtihad dilakukan oleh jemaah yang memenuhi syarat-syarat ijtihad maka tidak akan terjadi kekacauan dan persengketaan yang tajam. Dan dengan menggunakan alat dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam di dalam melaksanakan ijtihad bi al-ra’y sudah tentu akan menghasilkan ketetapan yang terjamin kebenarannya, selaras dengan kehendak Allah swt. (Baharum Abu Bakar 1984: 11)






RUJUKAN

Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zain. 1997. Pengantar Usul Fiqh. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd

Abd Wahhab Kallaf. 1995. Ilmu Usul Fiqh Wa Khalasah At-Tasyri’ Al-Islami. Darul Fikir Al-Arabi.

Abd Karim Zaidan. 2006. Al-Wajiz fil Usul Fiqh. Lebanon : Resalah Publishers.

Baharum Abu Bakar. Sumber-sumber Hukum Islam. 1984. Risalah Bandung.



disediakan oleh:

ALIAA BT ABD RAZAK
NUR AKMAL BT YUSOF
SITI AYUNI BT YAHAYA
NUR ZAIDA BT ZAKARIA
NOR FATIHA BT MOHAMED
HANIM HARYANI BT MOHAMAD
NORHAFIZAH BT AZHARRUDDIN
NURUL 'ALYAA ATHIRAH BT ABD HALIM