TAKRIF SHAR’ MAN QABLANA
Shar’ man qablana adalah hukum yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T. kepada umat-umat terdahulu melalui nabi mereka seperti Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Daud a.s, dan Nabi Isa a.s (Wahbah Zuhaili 2005: 101).
Persoalan yang timbul adalah, adakah syariat yang telah disyariatkan kepada umat-umat terdahulu dituntut untuk diamalkan pada umat Nabi Muhammad s.a.w. ataupun ianya tidak disyariatkan lagi kepada umat Nabi Muhamad s.a.w tetapi hanya disyariatkan untuk umat-umat terdahulu sahaja. Untuk mengetahui persoalan ini ia perlu dilihat kepada pembahagian yang telah dibuat dalam bab ini (Wahbah Zuhaili 1998: 867).
PEMBAHAGIAN SHAR’ MAN QABLANA
Ulama’ telah berselisih pendapat tentang pensyariatannya kepada umat hari ini, oleh itu ulama’ telah membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu:
1- Bahagian yang pertama adalah hukum-hukum yang telah disyariatkan kepada umat terdahulu, tetapi tidak disebut di dalam syariat umat hari ini samaada di dalam Al-Quran mahupun Sunnah. Dalam bahagian yang pertama ini semua ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa ianya tidak disyariatkan kepada umat hari ini walaupun ianya disyariatkan kepada umat terdahulu (Wahbah Zuhaili 2005: 101).
2- Bahagian kedua pula adalah hukum-hukum yang disebut di dalam Al-Quran ataupun Sunnah dan ianya dengan jelas menunjukkan kefardhuan kepada umat hari ini sepertimana yang telah difardhukan kepada umat terdahulu. Dalam bahagian ini, ulama’ telah bersepakat bahawa ianya menjadi kefardhuan kepada umat hari ini, seperti ibadah puasa sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah di dalam surah Al-Baqarah iaitu :
يأيها الذين ءامنو كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan kepadamu untuk berpuasa seperti yang telah diwajibkan kepada umat terahulu dari kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa”.
(Surah Al-Baqarah 183:2)
Berdasarkan ayat di atas ini menunjukkan bahawa apa yang disyariatkan kepada umat terdahulu juga ada juga yang disyariatkan kepada umat hari ini (Abdul Karim Zaidan 1992: 260).
3- Bahagian ketiga pula adalah hukum yang dinyatakan oleh Allah Taa’la di dalam Al-Quran atau dinyatakan oleh Rasulullah di dalam hadithnya akan tetapi disana juga terdapat ayat lain yang menasakhkan hukum tersebut kepada umat hari ini. Ini bermakna bahawa hukum tersebut hanya dikhususkan untuk umat-umat terdahulu, bahagian ini juga telah disepakati oleh ulama bahawa ianya tidak disyariatkan kepada umat hari ini. Seperti contoh ayat dalam surah Al-Anaam.
وعلى الذين هادوا حرمنا كل ذى ظفر ومن البقر والغنم حرمنا عليهم شحومهمآ إلا ما حملت ظهورهمآ أو الحوايآ أو ما اختلط بعظم ذلك جزيناهم ببغيهم وإن لصادقون.
Maksudnya:
Dan kepada orang-orang yahudi kami haramkan segala binatang yang berkuku satu, sapi dan domba, Kami haramkan untuk mereka lemaknya, selain lemak yang ada di punggungnya atau di perut atau yang bercampur dengan tulangnya itulah hukuman kami kepada mereka, disebabkan kedurhakaan mereka sesungguhnya kamilah yang benar”
(Surah Al-Anaam 146:6)
Hukum dalam ayat diatas telah dinasakhkan dengan ayat ini.
قل لآ أجد فى مآ أوحي إلى محرما على طاعم يطعمه إلآ أن يكون ميتة أو دما مسفوحا أو لحم خنزير فإنه رجس أو فسقا أهل لغير الله به, فمن اضطر غير باغ ولا عاد فإن ربك غفور رحيم.
Maksudnya:
Katakanlah tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku bahawa ada yang terlarang untuk dimakan oleh orang yang hendak memakannya selain dari bangkai, darah yang mengalir, daging babi sebab sungguh kotor atau apa-apa kejahatan yang disembelih selain nama Allah. Tetapi siapa yang dalam keadaan terpaksa tidak sengaja melakukan kesalahan dan melanggar hukum maka tuhanmu maha pengampun dan maha penyayang”
(Surah Al-Anaam 145:6)
Begitu juga dalam hadith Nabi s.a.w, yang menyatakan dan menunjukkan apa yang diharamkan kepada umat terdahulu telah dihalalkan kepada umat hari ini.
Selain itu, pengharaman untuk mengambil ghanimah atau harta rampasan perang kepada umat terdahulu juga telah dihalalkan kepada umat hari ini seperti yang terdapat didalam hadith Nabi s.a.w.
وأحلت لى الغنائم ولم تحمل قبلي
Maksudnya:
“Dan aku menghalalkan kepada kamu ghanimah yang kamu tidak boleh ambil sebelum ini”.
Hadith ini menunjukkan bahawa apa yang telah dilarang kepada umat terdahulu telah dihalalkan kepada umat hari ini. (Abdul Karim Zaidan 1992: 261).
4- Hukum-hukum yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran atau di dalam Hadith Rasulullah S.A.W yang disayariatkan kepada umat sebelum ini tetapi tidak terdapat dalil yang menunujukkan bahawa ianya disyariatkan kepada umat hari ini ataupun tidak. Begitu juga tidak terdapat ayat yang menasakhkan hukum tersebut. Terdapat perselisihan ulama tentang perkara ini. Contohnya ayat qisas dalam syariat Yahudi yang terdapat didalam Al-Quran iaitu:
وكتبنا عليهم فيهآ أن النفس بالنفس والعين بالعين والأنف بالأنف والأذن بالأذن والسن بالسن والجروح قصاص, فمن تصدق به فهو كفارة له, ومن لم يحكم بمآ أنزل الله فأولآئك هم الظالمون.
Maksudnya:
Dan telah kami perintahkan didalamnya bahawa jiwa dibayar dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, dan gigi dengan gigi bahkan luka pun ada balasannya, barang siapa yang dengan rela menjalankan hukum itu menjadi tebusan dosa baginya. Barangsiapa yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah itulah orang-orang yang melanggar peraturan.
(Surah Al-Maidah 45:5)
Begitu juga dalam kisah pembahagian air antara Nabi Soleh a.s. dengan kaumnya seperti di dalam Al-Quran iaitu:
ونبئهم أن الماء قسمة بينهم, كل شرب محتضر
Maksudnya:
Dan sampaikanlah kepada mereka, bahawa air itu dibahagi antara mereka, setiap yang berhak minum itu dapat hadir.
(Surah Al-Qamar 28:45)
Untuk bahagian yang terakhir ini terdapat perselisihan pendapat dikalangan ulama’ samaada ianya menjadi syariat kepada umat terdahulu sahaja ataupun tidak. (Wahbah Zuhaili 2005: 102)
KEHUJAHAN SHAR’ MAN QABLANA
Dalam masalah syar’ man qablana ini, ulama’ telah berselisih pendapat pada bahagian yang terakhir iaitu pada bahagian yang keempat. Dalam bahagian ini terdapat dua pendapat ulama iaitu golongan yang berhujah dengannya dan golongan yang tidak berhujah dengannya.
Pandangan pertama adalah pandangan jumhur Hanafi, Maliki, termasuklah sebahagian Syafii dan Ahmad mengatakan bahawa perkara yang telah disahkan sebagai syariat sebelum ini, maka ianya juga menjadi syariat kepada kita sekiranya ia telah disyariatkan kepada kita melalui wahyu kepada Rasulullah S.A.W maka beramal dan mengikutnya adalah wajib kepada mukallaf.
Manakala pendapat kedua pula adalah daripada sebahagian daripada Syafii, Asyairah, Mu’tazilah, dan Syiah telah menyatakan bahawa perkara yang disyariatkan kepada umat terdahulu tidak disyariatkan kepada kita. (Wahbah Zuhaili 2005: 102)
Hujah Golongan Pertama
Golongan pertama iaitu pandangan jumhur Hanafi, Maliki, termasuklah sebahagian Syafii dan Ahmad berhujah bahawa kesemua syariat yang telah diturunkan oleh Allah Taala, selagi mana tidak ada ayat yang menasakhkan hukum tersebut maka ianya wajib diamalkan oleh umat hari ini dan boleh dijadikan sumber rujukan hukum.
1- Hujah mereka yang pertamanya adalah seperti mana yang difirmankan oleh Allah Taala di dalam Al-Quran iaitu:
أولئك الذين هدى الله فبهداهم اقتده
Maksudnya:
Itulah orang-orang yang dipimpin Allah, oleh itu turutilah pimpinan mereka.
(Surah Al-Anaam 90:6)
Berdasarkan kepada ayat di atas ianya menunjukkan bahawa Allah Taala memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengikut petunjuk mereka iaitu syariat yang telah disampaikan oleh Nabi-Nabi terdahulu kepada umatnya kerana pada syariat tersebut adanya sebahagian daripada petunjuk yang merangkumi iman dan perundangan yang diamalkan oleh umat terdahulu. Oleh itu golongan pertama berhujah bahawa mesti beramal dengan hukum-hukum tersebut. (Wahbah Zuhaili 1998: 873)
2- Hujah yang kedua pula adalah berdasarkan kepada firman Allah Taala iaitu
ثم أوحينا إليك أن اتبع ملة إبراهيم حنيفا
Maksudnya:
Kemudian kami wahyukan kepada engkau: hendaklah engkau mengikut kepercayaan Ibrahim yang lurus.
(Surah An-Nahl 123:16)
Berdasarkan kepada ayat diatas, ianya menjelaskan bahawa Allah Taala telah memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengikut millah Ibrahim a.s yang mana millah tersebut adalah apa yang telah disyariatkan kepada Nabi Ibrahim a.s., dan perintah ini dalam bentuk suruhan maka ianya adalah wajib untuk diikuti. (Wahbah Zuhaili 1998: 873)
3- Hujah yang ketiga pula adalah berdasarkan kepada firman Allah Taala iaitu
شرع لكم من الدين ما وصى به نوحا والذين أوحينا إليك وما وصينا به إبراهيم وموسى وعيسى أن أقيموا الدين ولا تتفرقو فيه.
Maksudnya:
Dia telah menetapkan agama kepadamu apa yang telah diperintahkanNya kepada Nuh, dan apa yang kami wahyukan kepada engkau dan yang kami perintahkan kepada Ibrahim, Musa, dan Isa, bahawa tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah di dalamnya.
(Surah As-Syura 13:26)
Berdasarkan kepada ayat diatas, ianya menjelaskan bahawa Allah Taala telah memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengikut apa yang telah diperintahkan kepada Nabi Nuh a.s, Nabi Ibrahim a.s, Nabi Isa a.s untuk menegakkan agama Allah dan Allah melarang daripada berpecah belah. (Wahbah Zuhaili 1998: 873)
4- Hujah yang keempat pula adalah kerana ulama telah menyatakan bahawa wajib qada’ solat fardhu yang telah ditinggalkan berdasarkan kepada hadith Nabi s.a.w iaitu:
من نام عن صلاة أو نسيها فليصلها إذا ذكرها
Maksudnya:
Sesiapa yang tertidur atau terlupa daripada mengerjakan solat maka hendaklah ia mengerjakannya jika mengingatinya.
Kemudian baginda s.a.w menyambung dengan membaca ayat Al-Quran iaitu:
وأقم الصلاة لذكري
Maksudnya:
Tetapkanlah mengerjakan solat untuk mengingatiku.
(Surah Taha 14:20)
Ayat dalam surah Taha ini adalah ayat yang ditujukan kepada Nabi Musa a.s. maka sekiranya syariat nabi terdahulu tidak terpakai oleh Nabi Muhammad s.a.w maka tidak mungkin juga ayat yang dibacakan oleh Nabi s.a.w tadi bermanfaat kepada umatnya. Maka ulama dari golongan pertama ini menyatakan bahawa syariat umat terdahulu turut terpakai kepada umat hari ini berdasarkan kepada hujah ini. (Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001: 142 )
5- Hujah yang kelima pula adalah bahawa Nabi Muhammad s.a.w pernah berhukum dengan berdasrkan kepada syariat nabi yang terdahulu seperti dalam permasalahan yang berlaku iaitu tentang bagaimana hendak dijatuhkan hukuman qisas kepada kesalahan mematahkan gigi, sedangkan hukuman qisas tersebut hanya disyariatkan di dalam Taurat, tetapi didalam Al-Quran Allah ada menyebut iaitu:
إنآ انزلنا التوراة فيها هدى ونور يحكم بها النبيون
Maksudnya:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Taurat yang padanya ada petunjuk dan cahaya yang dijadikan panduan kepada nabi untuk mengeluarkan hukum.
(Surah Al-Maidah 44:5)
Begitu juga dengan ayat ini iaitu:
وكتبنا عليهم فيهآ أن النفس بالنفس والعين بالعين والأنف بالأنف والأذن بالأذن والسن بالسن والجروح قصاص, فمن تصدق به فهو كفارة له, ومن لم يحكم بمآ أنزل الله فأولآئك هم الظالمون.
Maksudnya:
Dan telah kami perintahkan didalamnya bahawa jiwa dibayar dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, dan gigi dengan gigi bahkan luka pun ada balasannya, barang siapa yang dengan rela menjalankan hukum itu menjadi tebusan dosa baginya. Barangsiapa yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah itulah orang-orang yang melanggar peraturan.
(Surah Al-Maidah 45:5)
Oleh itu nabi telah merujuk kepada apa yang telah disyariatkan oleh Allah kepada umat terdahulu untuk menyelesaikan masalah qisas pada gigi, ini menunjukan bahawa syariat umat terdahulu boleh dijadikan sebagai salah satu daripada sumber hukum. (Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001: 142 )
6- Hujah yang keenam pula adalah tentang Rasul yang diutuskan oleh Allah yang hanya bertindak sebagai penyampai risalah Allah Taala. Oleh itu tidak ada bezanya antara seorang rasul dengan rasul yang lain dari segi syariat yang dibawa oleh mereka. Maka syariat yang diamalkan rasul sebelumnya turut diamalkan oleh selepasnya selagi tidak ada dalil yang menasakhkan hukum tersebut. Ini berdasarkan kepada dalil Al-Quran iaitu:
لا نفرق بين أحد من رسوله
Maksudnya:
Kami tidak membezakan-bezakan seorang pun antara utusan-utusan tuhan.
( Surah Al-Baqarah: 285/2)
Ini bermakna syariat terdahulu juga diiktiraf oleh Allah, Rasul hanya diutuskan untuk menjelaskan perkara tersebut, oleh itu tiada beza antara seorang rasul dengan rasul yang lain. Oleh itu apa yang disyariatkan kepada umat terdahulu diperakui sehinggalah terdapat ayat lain yang menasakhkan hukum tersebut. (Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001: 142 )
7- Hujah yang ketujuh pula adalah pernah berlaku satu ketika Ibnu Abbas membaca Al-Quran pada Surah Shaad, ketika mana sampai bacaannya pada ayat ini iaitu:
وظن داود أنما فتناه فاستغفر ربه وخرا راكعا وأناب.
Maksudnya:
Dan Daud itu menyangka bahawa kami mengujinya maka dia memohonkan ampunan dan tunduk merendahkan diri serta kembali kepada tuhannya.
(Surah Shaad 24:38)
Ketika sampai pada ayat ini Ibnu Abbas beliau telah sujud, kemudian beliau menyatakan dengan membaca ayat Al-Quran iaitu:
أولئك الذين هدى الله فبهداهم اقتده.
Maksudnya:
Itulah orang-orang yang dipimpin Allah, oleh itu turutilah pimpinan mereka.
(Surah Al-Anaam 90:6)
(Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001: 142 )
Hujah Golongan Kedua
Manakala pendapat kedua pula adalah daripada sebahagian daripada Syafii, Asyairah, Mu’tazilah, dan Syiah telah menyatakan bahawa perkara yang disyariatkan kepada umat terdahulu tidak disyariatkan kepada kita. (Wahbah Zuhaili 2005: 101) Antara hujah golongan ini adalah:
1- Sesungguhnya ketika Nabi Muhammad s.a.w ketika mengutuskan Saiyidina Muaz r.a ke Yaman sebagai kadhi, Baginda telah bertanya kepada Muaz tentang kaifiat Muaz hendak menghukumkan sesuatu seperti dalam hadith Nabi iaitu:
ما روى أن النبي صلى الله عليه وسلم قال لمعاذ: بما تحكم. قال: بكتاب الله. قال: فإن لم تجد؟ قال: بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم. قال: فإن لم تجد؟ قال: اجتهد رأيى ولا آلو فقال النبي عليه السلام: الحمد لله الذي وفق رسول رسوله صلى الله عليه وسلم لما يحبه ويرضاه رسول الله.
(رواه أحمد وابو داؤد)
Maksudnya:
Bagaimana nanti kamu hendak memutuskan hukum sesuatu permasalahan yang dibawa kepada kamu? Lalu Muaz menjawab saya akan berhukum dengan Kitab Allah, Nabi bertanya lagi sekiranya tiada dalam kitab Allah? Jawab Muaz saya akan berhukum mengikut Hadith Nabi s.a.w, Nabi bertanya lagi sekiranya tiada dalam sunnah? Maka saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut atau membenarkan begitu sahaja lalu Nabi menepuk dada sambil bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah kearah sesuatu yang diredhai Rasulullah.
Berdasarkan kepada hadith tersebut ianya menunjukkan bahawa Nabi s.a.w tidak menyuruh Muaz untuk merujuk kepada syariat umat terdahulu jika sesuatu permasalahan itu tidak dapat diselesaikan, tetapi hanya sekadar brijtihad. Jika sekiranya syariat umat terdahulu merupakan salah satu sumber hukum sudah pasti Nabi s.a.w akan menyuruh Muaz untuk merujuk kepada syariat umat terdahulu selepas merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah (Wahbah Zuhaili 1998: 875).
2- Hujah yang kedua pula adalah berdasarkan kepada firman Allah taala iaitu:
لكل جعلنا منكم شرعة ومنهاجا
Maksudnya:
Untuk masing-masing Kami buatkan aturan dan jalan.
(Surah Al-Maidah 48:5)
Berdasarkan ayat di atas ianya menunjukkan bahawa untuk setiap bangsa atau umat itu ada aturan tersendiri yang sesuai dengan keadaan dan kepentingan masing-masing, tetapi Al-Quran dapat menjamin segala kepentingan-kepentingan dan kerana itu dapat dijadikan pedoman oleh segenap lapisan umat manusia. Oleh itu, setiap umat itu mesti mengikut segala yang telah disyariatkan kepada mereka sahaja, bukan mengikut perkara yang telah disyariatkan kepada umat yang terdahulu daripada mereka. Maka apa yang disyariatkan kepada umat terdahulu tidak diamalkan oleh umat hari ini. (Wahbah Zuhaili 1998: 875
3- Hujah yang ketiga bagi golongan yang menolak kehujahan shar’ man qablana pula adalah sekiranya ianya diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu mengamalkan syariat umat terdahulu maka sudah tentulah umat Nabi Muhammad s.a.w diwajibkan untuk mempelajarinya, begitu juga dengan mujtahid dalam kalangan para sahabat baginda akan membahaskan dan bertanyakan tentang perkara-perkara yang berlaku dan bertentangan antara syariat terdahulu dengan syariat hari ini sesama mereka, serta ianya juga akan menjadi salah satu daripada rujukan Nabi Muhammad s.a.w. akan tetapi kesemua ini tidak berlaku dan ini menunjukkan bahawa tidak perlu berhujah dengan shar’ man qablana (Wahbah Zuhaili 1998: 876)
4- Hujah yang keempat bagi golongan yang menolak kehujahan shar’ man qablana pula adalah, bahawa syariat umat terdahulu dikhususkan kepada umat terdahulu sahaja, manakala syariat umat Nabi Muhammad s.a.w adalah disyariatkan kepada umum iaitu kepada semua kaum dan bangsa yang ada di atas muka bumi ini. Ini berdasarkan kepada beberapa firman Allah antaranya:
ولقد أرسلنا نوحا إلى قومه إني لكم نذير مبين.
Maksudnya:
Sesungguhnya kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya, mengatakan sesungguhya aku adalah pemberi peringatan yang terang untuk kamu.
(Surah Hud 25:11)
ولقد أرسلنا موسى بآياتنآ أن أخرج قومك من الظلمات إلى النور وذكرهم بآياة الله ان في ذلك لاياة لكل صبار شكور.
Maksudnya:
Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Musa membawa keterangan-keterangan kami, bahawa hendaklah kamu keluarkan kaummu dari kegelapan kepada cahaya terang dan peringatkan kepada mereka hari-hari Allah, sesungguhnya hal itu menjadi keterangan bagi setiap orang yang teguh hati dan berterima kasih
(Surah Ibrahim 5:14)
ورسولا إلى بني إسرآءيل....
Maksudnya:
Dan dia menjadi Rasul untuk anak-anak Israil….
(Surah Ali Imran 49:3)
Berdasarkan kepada tiga ayat yang dinyatakan di atas ia menerangkan bagaimana Nabi Nuh a.s, Nabi Musa a.s, dan Nabi Isa sebenarnya diutuskan khas kepada umat tertentu sehaja, sedangkan Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk seluruh umat manusia tidak kira dimana sekalipun sehingga hari kiamat, dan ianya dikuatkan lagi dengan hadith Nabi s.a.w iaitu
وكان كل نبي يبعث إلى قومه خاصة وبعثت إلى الناس عامة
Maksudnya:
Sesungguhnya nabi-nabi itu diutuskan untuk kaum tertentu, tetapi aku diutuskan untuk semua manusia.
Oleh itu apabila datangnya syariat Nabi Muhammad s.a.w maka ianya menasakhkan syariat-syariat yang terdahulu. Akan tetapi sekiranya nabi sendiri yang mengamalkan sesuatu ajaran atau amalan umat terdahulu maka ianya adalah diiktiraf oleh nabi sendiri dan ianya menunjukkan bahawa hukum tersebut tidak dinasakhkan dan boleh diamalkan. (Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001: 142 )
FURUK FIQH
Apabila adanya perselisihan pendapat, maka sudah tentulah akan adanya perselisihan pada penentuan sesuatu hukum seperti menjadikan manfaat sesuatu sebagai mahar kepada perkahwinan.
Mengikut pendapat Imam Shafie dan Imam Ahmad ianya adalah harus iaitu dibolehkan sepertimana yang pernah berlaku kepada kisah antara Nabi Musa dan Nabi Shuaib sebagaiman yang diceritakan di dalam Al-Quran iaitu:
إني أريد أن أنكحك إحدى ابنتي هاتين على أن تأجرني ثماني حجج فان اتممت عشرا فمن عندك ومآ أريد أن أشق عليك ستجدونى ان شآء الله من الصالحين.
Maksudnya:
Sesungguhnya aku hendak mengahwinkan engkau dengan seorang dari kedua anak perempuanku ini dengan ketentuan, bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun tetapi kalau engkau cukupkan sepuluh tahun itu terserah kepada kemahuanmu sendiri aku tidak akan memberatkan pikulan engkau, jika Tuhan mahu Insyaallah engkau akan mendapati aku termasuk orang-orang yang baik.
(Surah Al-Qasas 27:28)
Mengikut mazhab Hanbali ianya harus walaupun ayat ini menjelaskan tentang syariat Nabi Shuaib a.s dengan mengqiaskannya dengan sewaan (Wahbah Zuhaili 2005: 104). Manakala Imam Malik pula berpendapat ianya tidak harus dijadikan manfaat sebagai mahar akan tetapi jika sudah berlaku akad maka ianya adalah sah. Dan imam Abu Hanifah pula harus jika bukan khidmat suami yang merdeka kepada isteri yang berstatus hamba.
Dalam masalah yang lain pula iaitu pada keutamaan kepada jenis haiwan yang akan dijadikan korban. Dalam permasalahan ini Imam Malik berpendapat bahawa keutamaan haiwan yang akan dijadikan korban adalah kibas kemudian lembu kemudian unta. Sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s ketika mana beliau disuruh mengorbankan anaknya lalu digantikan dengan kibas, maka Imam Malik, dan Imam Abu Hanifah berhujah dengan kisah Nabi Ibrahim yang disuruh menyembelih anaknya sehingga tersebut untuk menentukan keutamaan haiwan tersebut. (Wahbah Zuhaili 1998: 878).
KESIMPULAN
Oleh itu, jelaslah di sini bahawa sharc man qablana merupakan salah satu daripada dalil-dalil yang disepakati dalam usul fiqh. Ini disebabkan terdapat sesetengah ulama’ bersepakat menerima sharc man qablana sebagai dalil manakala yang lainnya menolak. Walaubagaimanapun, dengan pensyariatan sharc man qablana sebagai dalil dalam usul fiqh hal ini telah menyerlahkan lagi kesyumulan dan kehebatan Islam sebagai agama yang suci dan agama rahmat yang mana ia bersifat tetap dan anjal pada perkara tertentu.
RUJUKAN
1- Abdul Karim Zaidan. 1992. Al-Wajiz Fi Usul Fiqh. Qaherah: Darul Tauziq Wa An-Nashr Al-Islamiah,
2- Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar. 2001. Al-Wadhih Fi Usul Fiqh. Dar As-Salam
3- Wahbah Zuhaili. 2005. Al-Wajiz Fi Usul Fiqh. Beirut: Darul Fikr
4- Wahbah Zuhaili. 1998. Usul Fiqh Al-Islami. Juzu’2. Damshik: Darul Fikh
Monday, May 4, 2009
SHAR' MAN QABLANA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment