Daripada penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa :
1. Dasar taklif adalah berakal, kerana taklif itu merupakan tuntutan Allah s.w.t. Orang tidak dapat menangkap tuntutan itu kecuali dia berakal dan dapat memahaminya.
2. Akal itu berkembang secara bertahap. Kesempurnaan akal itu tumbuh sejak kecil dan akan sampai batas kesempurnaannya pada masa tertentu.
3. Pertumbuhan akal merupakan hal yang abstrak dan berproses sejalan dengan perkembangan waktu sampai batas kesempurnaannya. Sebagai tanda atau batas yang konkrit adalah umur baligh yang memisahkan antara kesempurnaan dan kekurangan akal. Pada saat sampai batas umur itulah taklif mulai berlaku.
Tetapi perlu diingat bahawa orang gila dan anak-anak yang tidak cukup umur itu masih terkena juga taklif harta. Apabila salah seorang daripada mereka merosakkan harta orang lain, maka harus diganti dengan hartanya, begitu juga apabila melakukan perbuatan jenayah, maka dia dikenakan diyat (tebusan) atas hartanya. Para ulama usul juga bersepakat bahawa harta mereka juga wajib dizakatkan dan secara ijmak juga disepakati bahawa wajib zakat atas tanaman dan buah-buahan mereka. Hal itu jelas suatu taklif sehingga tidak dapat dikatakan bahawa mereka tidak kena taklif. (Muhammad Abu Zahrah 1994 : 504)
Para ulama usul memberitahu jawapannya : Bahawa apabila orang gila dan anak-anak tidak dikenakan tuntutan taklif dengan alasan mereka tidak berakal dan tidak mumayyiz sebagai dasarnya, tetapi keduanya tetap terbukti sebagai manusia. Kemanusiaan inilah yang memberi hak di samping tanggungjawab kerana itu mereka mempunyai hak memiliki harta dan selama ada hak memiliki bererti ada pula hukum dan beban atas pemilikan itu. (Ibid)
Begitulah bahawa kemanusiaan itu telah menetapkan hak kepada orang gila dan anak-anak, di samping terkait juga tanggungjawab dan kewajiban. Untuk memperjelaskan persoalan ini, berikut akan dijelaskan kemampuan (ahliyyah) yang datang sebagai konsekuensi dari kemanusiaan dan kemampuan yang ditetapkan atas dasar akal. (Ibid)
Tidak Sah Taklif Sekiranya
Pertama : Orang gila dan kanak-kanak kerana golongan ini tidak berakal dan tidak mampu memahami sama sekali dalil taklif dan bagi kanak-kanak pula mereka tidak cukup umur dan juga tidak mampu memahami dan melaksanakan perintah dengan sempurna.
Kedua : Orang tidur ketika tidurnya, orang lupa ketika lupanya, dan orang mabuk ketika mabuknya, kerana mereka tidak mampu memahami dalil taklif dalam keadaan tersebut, ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abi Talib bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya :
"رفع القلم عن ثلاثة : عن النائم حتى يستيقظ، وعن الصبي حتى يحتلم، وعن المجنون حتى يفيق"
“Diangkat catatan dari tiga iaitu orang tidur sehingga ia jaga, kanak-kanak sehingga cukup umur dan orang gila sehingga ia siuman”. (Diriwayat oleh Ahmad di dalam musnad dan Al Tarmizi)
Adapun kewajipan dikeluarkan zakat harta kanak-kanak dan orang gila mengikut pendapat jumhur ulama dan kewajipan memberi nafkah keluarga kedua-duanya yang terdekat dan isterinya dan mengganti setiap yang dimusnahkan oleh kedua-duanya mengikut pendapat semua fuqaha, maka bukanlah ia merupakan taklif kepada kedua-duanya kerana ketidaksempurnaannya, malah ia merupakan taklif terhadap penjaga kedua-duanya dengan menunaikan kewajipan tersebut dari harta kedua-duanya. (Hasan Hj. Ahmad 2002 : 147)
Begitu juga tentang pengambilkiraan talak atau cerai orang mabuk dan segala tindakannya mengikut pendapat sebahagian fuqaha, maka ia bukanlah berdasarkan kepada taklif atau hukum taklifi tetapi termasuk dalam hukum wad’ie dengan dijadikan terlafaznya talak sebagai tanda gugurnya talak sebagai penyiksaan kepada mabuk, lantaran inilah mereka mensyaratkan bahawa mabuk itu adalah dengan cara yang diharamkan. (Muhammad Soleh Hj. Ahmad 2000 : 147)
Jika dikatakan, sesungguhnya mentaklifkan mereka yang tidak faham perkataan ada berlaku di dalam syariah Islam iaitu di dalam firman Allah yang bermaksud :
“Wahai mereka yang beriman jangan kamu menghampiri sembahyang sedangkan kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu perkatakan”.( an Nisaa’ 4 : 43)
Ayat ini menunjukkan bahawa orang-orang yang mabuk di dalam keadaan mabuk ditaklifkan mereka menahan diri dari bersembahyang sedangkan mereka tidak memahami perintah ketika itu.
Namun, jawapan kepada kemusykilan ini ialah, bahawa perintah di dalam ayat ini tidak dituju kepada orang-orang yang mabuk ketika mereka sedang mabuk, tetapi dituju kepada mereka semasa mereka dalam keadaan sedar dan sebelum mabuk, bahawa mereka janganlah meminum arak, apatah lagi apabila hampir waktu sembahyang supaya mereka tidak menghampiri sembahyang dalam keadaan mabuk. (Wahbah Zuhaili 1982 : 165)
Oleh yang demikian, ayat tersebut menjelaskan bahawa apabila hampir waktu sembahyang, maka larangan meminum arak adalah bertujuan untuk memelihara solatnya. Ayat tersebut adalah sebelum penurunan ayat pengharaman minum arak dalam semua waktu melalui firman-Nya yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) perbuatan keji dan termasuk dalam perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu beruntung”. (al- Maidah 5: 90)
Di samping itu, orang yang pakar dan mahir berhubung dengan rahsia pensyariatan Islam dapat memahami dari cara tersembunyi bahawa ayat tersebut mengkehendaki meninggalkan amalan meminum arak semata- mata kerana waktu sembahyang secara umumnya adalah sempit. Apabila seseorang itu mabuk, maka ia tidak mengetahui keadaan ia akan siuman semula. Oleh yang demikian, wajib ia menegah dirinya dari meminum arak untuk memelihara sembahyang kerana inilah ramai di kalangan sahabat berhenti meminum arak ketika turun ayat ini sehingga penurunan ayat pengharaman arak secara keseluruhan. (Hasan Hj. Ahmad 2002 : 150)
Seterusnya, jika dikatakan syariat Islam merangkumi keseluruhan umat manusia sebagaimana firman Allah s.w.t maksudnya :
•• ••
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (Saba’ 34 : 28)
Sedangkan sebahagian daripada manusia tidak mengetahui bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Quran. Persoalannya, bolehkah mereka diperintah melalui bahasa yang mereka tidak memahaminya dan ini menyebabkan luput syarat taklif iaitu mampu memahami dalil taklif ? Jawapan kepada kemusykilan ini ialah bahawa syarat taklif terlaksana bagi yang bukan bangsa Arab kerana mereka masih mampu mempelajari bahasa Arab atau diajarkan agama kepada mereka melalui bahasa mereka. Namun mempelajari bahasa Arab oleh semua orang adalah sukar. Oleh yang demikian, mestilah dilakukan salah satu daripada perkara berikut, iaitu menentukan golongan yang mempelajari bahagian agama dan pensyariatan hukum sekaligus memdalami bahasa Arab dengan baik kemudian menyampaikan hukum tersebut kepada umat Islam yang lain dan ia merupakan perbuatan di bawah fardu kifayah. (Hasan Hj. Ahmad 2002 : 151). Sebagaimana firman Allah s.w.t maksudnya:
•
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang Berjaya”. (Ali Imran 3: 104)
Sesungguhnya mereka yang bukan berbangsa Arab mampu mempelajari atau menterjemahkan nas-nas syarak atau maknanya mengikut bahasa yang mereka fahami. Dalam hal ini perihal keupayaan individu lebih utama dan diambil kira. Oleh yang demikian, walaupun mereka bukan berbangsa Arab pentaklifan hukum syarak tetap mengikat setiap tindakan yang dilakukan. Sesungguhnya Rasullullah s.a.w pernah mengutuskan surat kepada Raja Parsi, Rom, Afrika dan Mesir dan bersama surat tersebut ialah utusan yang mengetahui dan memahami bahasa yang digunakan oleh negara tersebut bagi menjelaskan tujuan surat tersebut berkenaan agama yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w iaitu Islam. Seterusnya, dalam khutbah Nabi s.a.w yang terakhir menyatakan bahawa setiap yang hadir atau mengetahui mengenai sesuatu hukum yang disyariatkan perlulah menyampaikan ilmu tersebut kepada yang tiada (ghaib). Dalam perbahasan mengenai kalimah ghaib (الغائب) ia termasuklah yang tidak mengetahui dan memahami bahasa Arab. (Abdul Karim Zaidan 2006 : 71)
Di samping itu, sesetengah potongan ayat- ayat dalam al- Quran tidak dapat difahami iaitu huruf- huruf potong dalam sesetengah surah sedangkan tiada ayat dalam al- Quran mahupun sunnah yang tidak boleh difahami, sekaligus menggugurkan syarat taklif terhadap individu tersebut. Namun demikian, ulama menjelaskan bahawa ayat yang terdapat padanya huruf potong bukanlah membawa maksud kepada hukum syarak yang perlu ditaklifkan kepada mukallaf. Oleh itu, ia tidak menghalang pentaklifan terhadap mukallaf atau menggugurkan syarat taklif tersebut. Dari sudut lain, sesungguhnya huruf- huruf potong yang terdapat pada sesetengah surah dalam al-Quran mempunyai maksud yang jelas kerana ia diletakkan di awal surah bagi membuktikan hujah mengenai kemukjizatan al-Quran dari sudut penggunaan bahasanya. (Abdul Karim Zaidan 2006 : 71)
AHLIYYAH
Kemampuan Untuk Taklif
Kemampuan (ahliyyah) ialah kemampuan seseorang untuk menerima kewajipan dan menerima hak. Ertinya seseorang itu berupaya untuk menanggung hak-hak orang lain, menerima hak-hak atas orang lain dan mampu untuk melaksanakannya. Dengan demikian, kemampuan itu mengandungi dua bahagian : (Muhammad Abu Zahrah 1994 : 504).
1. Ahliyyat al-Wujub, iaitu kemampuan untuk mempunyai dan menanggung hak. Hal ini terjadi sebagai konsekuensi kemanusiaan, yang dasar kelayakkannya ialah kerana ia seorang manusia.
2. Ahliyyat al-Ada’, iaitu kemampuan untuk melahirkan kewajipan atas dirinya dan hak untuk orang lain. Kemampuan ini tidak hanya kerana ia sebagai manusia, tetapi kerana ia mumayyiz.
Ahliyyat al-Wujub
Kemampuan diri ini wujud berdasarkan keadaan seseorang semata-mata sebagai manusia, baik yang sudah dewasa ataupun masih kanak-kanak, mumayyiz atau tidak, laki-laki atau perempuan. Juga, baik ia seorang merdeka atau budak, meskipun hak orang merdeka lebih sempurna. Kemampuan ini tetap akan melekat pada setiap orang sampai mati. Menurut fuqaha Hanafiyah, ia terus melekat sampai hutang dan wasiatnya ditunaikan setelah ia mati. (Muhammad Abu Zahrah 1994 : 504)
Para ahli fiqh menganggap ahliyyat al-wujub itu sebagai hal yang relatif sebagai tanggungan yang berkaitan dengan hak dan kewajipan sesuai dengan kemampuannya. Tanggungjawab itu merupakan hal relatif dan teoritis yang dipertikaikan wujud untuk menerima pelbagai kewajipan dan beban. Secara umum, tanggungan itu diperkirakan ada agar manusia dapat menanggung kewajipan dan menerima hak. Memperkirakan hal-hal yang teoritis bukan masalah aneh dalam lapangan hukum syarak dan perundangan, tetapi ada sebahagian ulama yang memandang tidak perlu adanya tanggungan yang bersifat teoritis kerana seseorang yang mempunyai hak dapat menuntut haknya, sebagaimana orang yang berhutang dapat membayar hutangnya dengan hartanya. Persoalan dalam hukum hanyalah penetapan kewajipan dan hak. Pendapat ini telah ditolak oleh pengarang Kasyf al-Asrar yang mengharuskan adanya perkiraan tanggungan itu secara teoritis. (Ibid)
Selanjutnya, ahliyyat al-wujub itu mempunyai tahap yang sesuai dengan proses peringkat manusia. Mula-mula, seseorang itu sebagai janin (dalam kandungan), kemudian bayi yang belum mumayyiz, kemudian anak-anak yang mumayyiz, seterusnya sebagai orang dewasa. Sewaktu masih janin, ahliyyat al-wujub belumlah sempurna dan akan menjadi sempurna setelah seseorang itu lahir sebagai manusia. (Ibid : 505)
Peringkat Ahliyyat al-Wujub Bagi Manusia
a. Ahliyyah Janin
Ahliyyat al-Wujub bagi janin adalah bersifat kurang (naqis) kerana ia hanya mempunyai hak dan tidak ada baginya kewajipan. Bahkan hak-hak janin itu masih lagi boleh berubah, boleh hilang dengan adanya dua faktor berikut iaitu : (Ibid : 506)
I. Janin itu berkemungkinan lahir dan terus hidup, dan berkemungkinan juga lahir dan mati. Sekiranya lahir mati, maka bererti tiadalah atau hilanglah semua hak-haknya. Manakala, lahir hidup, maka tetaplah hak-hak kemanusiaanya secara sempurna. Dengan adanya kemungkinan tersebut, bererti janin tidak boleh lagi memperoleh hak secara mutlak. Kecuali, jika lahirnya janin itu dalam keadaan benar-benar hidup, walaupun tidak sebagai manusia normal, maka ia akan memperoleh hak-haknya.
II. Janin dalam perut ibunya telah diperhitungkan kedudukannya, meskipun secara fizik iaitu ia merupakan sebahagian daripada ibunya. Juga mengikut keadaan ibunya dan dikenakan hukum syarak sebagaimana ibunya. Misalan, ibunya seorang yang merdeka, maka ia turut dikira merdeka. Dari sudut yang lain pula, janin merupakan sebahagian lain yang berasingan dan akan berdiri sendiri serta mempunyai kehidupan sendiri.
Berdasarkan kedua-dua keadaan tersebut, iaitu sebahagian daripada ibunya dan berkemungkinan berdiri sendiri, maka syarak memberikannya hak dan tidak dikenakan kewajipan.
Ulama Hanafiah berpendapat bahawa harta yang ditetapkan menjadi milik janin tersebut, haruslah diletakkan di bawah kawalan seseorang yang dipercayai. Harta tersebut tidak boleh dipergunakan kecuali untuk tujuan pemeliharaan, bukan untuk mengembangkannya. Kerana pemilikan itu hanya sementara sehinggalah terbukti lahirnya janin. (Muhammad Abu Zahrah 1994 : 506)
b. Ahliyyah Bayi Yang Lahir Sehingga Mumayyiz
Sebaik sahaja lahirnya seorang bayi, maka tetaplah hak-hak baginya sebagai manusia secara sempurna, baik ia boleh bercakap atau tidak boleh. Hak-haknya termasuklah : (Ibid : 507)
I. Dia dapat menanggung beban penggunaan harta yang dilakukan oleh wali, baik secara syarak mahupun undang-undang, tetapi ditangguh sehingga ia mumayyiz. Mereka tidak boleh terlepas dari hukum-hukum tersebut. Apabila dia sampai tahap mumayyiz dan kewajipan-kewajipannya belum ditunaikan oleh wali, maka dia sendiri harus melaksanakannya, kerana semua itu atas nama dirinya sendiri setakat diperbolehkan syarak.
II. Dalam hartanya dikenakan kewajipan-kewajipan, seperti pajak dan ushur (membayar sepersepuluh hasil untuk agama). Menurut jumhur, harta mereka juga dikenakan zakat kerana zakat merupakan beban harta yang tidak memerlukan niat, sehingga tidak disyaratkan kesempurnaan akal. Zakat fitrah juga diambil daripada harta mereka, menurut mazhab Abu Hanifah dan Abu Yusuf.
III. Dalam hartanya juga dikenakan kewajipan nafkah keluarga. Hal ini bukan semata-mata ibadat, tetapi merupakan beban harta untuk kesejahteraan keluarga yang juga diwajibkan oleh syarak.
IV. Hartanya menjadi penebus perbelanjaan hidupnya yang diurus oleh orang lain, kerana termasuk dalam tanggungannya merupakan kewajipan yang bersifat harta, walaupun bukan untuk ibadat. Membayar perbelanjaan hidup bererti kewajipan harta, maka walinya atau orang yang dipercayai harus mengeluarkan dari hartanya itu atas ketidakmampuannya dalam menguruskan harta yang tidak dianggap sebagai ibadat.
Ahliyyat al-Ada’
Iaitu kelayakan melaksanakan atau menunaikan pengurusan syar’iyyah iaitu pengurusan yang memberi kesan kepada hukum hakam syarak sam aada sah atau batal dan halal atau haram. Apabila seseorang mengadakan suatu ikatan perjanjian (akad) tentang sesuatu, maka menurut syarak, akad itu dianggap sah dan terlaksana. Contohnya, apabila ia mengerjakan solat, berpuasa atau menunaikan haji, maka menurut syarak semuanya dianggap sah dan dapat menggugurkan kewajipannya. Contoh lain yang dapat dikaitkan adalah, apabila seseorang melakukan kerosakan sama ada ke atas orang, harta ataupun kehormatan, maka dia dihukum setimpal mengikut perbuatan yang dilakukannya sama ada secara fizikal ataupun hartanya. Jadi yang dimaksudkan ahliyyat al-ada’ ialah kemampuan melaksanakan dan prinsip asasnya adalah akal iaitu kemampuan membezakan antara baik dan buruk. (A.Hanafi, 1971 : 233)
Pembahagian Ahliyyat al-Ada’
Ahliyyat al-Ada’ dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
Ahliyyat al-Ada’ al-Naqisah
Mereka ada kelayakan menerima yang sempurna tetapi kelayakan melaksanakan tidak sempurna. Dengan kata lain, kelayakan melaksanakan sesuatu pengurusan atau tindakan diberikan tetapi tidak kesemuanya boleh dilaksanakan secara bersendirian, ia mesti bergantung dengan pihak yang lain iaitu wali. Peringkat manusia yang ada kelayakan ini ialah mumayyiz.
Mengikut jumhur, umur bagi kanak-kanak yang mumayyiz adalah pada usia 7 tahun. Pada adab kebiasaannya. Kanak-kanak yang mumayyiz ini dikatakan memcapai tahap mumayyiz apabila ia sudah boleh membezakan sesuatu itu baik atau tidak, yang mana makanan dan yang mana najis serta sudah boleh menguruskan diri contohnya pakai baju sendiri. (Abdul Karim Zaidan 2006 : 74)
Jika dilihat, orang gila dimasukkan dalam kategori ini kerana, orang gila ini tidak berakal atau akalnya bermasalah atau terganggu. Dengan itu, orang ini tidak boleh diletakkan tanggungjawab ke atasnya. (Ibid)
Tasarrufnya terbahagi kepada tiga keadaan berdasarkan kemanfaatan dan kemudharatan yang boleh berlaku : (Anon : 13)
a. Akad yang boleh dilaksanakan secara bersendirian tanpa perlukan wali sekiranya ia hanya mendatangkan manfaat atau tiada risiko kepadanya seperti menerima hibah dan sedekah.
b. Akad yang tidak boleh dilaksanakan meskipun dengan izin wali sekiranya ia hanya membawa kemudaratan seperti mendermakan hartanya dan menceraikan isterinya.
c. Akad yang perlu keizinan wali apabila ada risiko atau kebaikan dan kemudaratan sama banyak seperti jual beli, mudharabah dan sebagainya.
Dalam soal ibadat pula, sah ibadat yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumayyiz ini meskipun ia tidak wajib ke atasnya, asalkan cukup syarat dan juga rukun. Contohnya, Ahmad berusia 7 tahun dan melaksanakan ibadat haji di Makkah. Ibadatnya adalah sah, namun ia tidak gugur kewajipan ke atasnya setelah ia baligh. Bermakna, ia masih ada kewajipan untuk menunaikan haji setelah ia baligh. Ia tetap mendapat pahala di atas ibadat yang dilakukannya. (Abdul Karim Zaidan 2006 : 75)
Dari sudut muamalat juga merujuk kepada syarat-syarat seperti yang telah dinyatakan di atas. Contohnya, jika sesuatu urusan itu mendatangkan manfaat kepada kanak-kanak ini, maka akad itu sah. Contohnya kanak-kanak itu mendapat hibah atau harta zakat. Walaupun tanpa izin wali. (Ibid)
Ahliyyat al-Ada’ al-Kamilah
Ialah kelayakan melaksana yang sempurna iaitu kelayakan seseorang untuk menunaikan tanggungjawab syarak ke atas dirinya bermula akil baligh dan berakal. Mereka dalam golongan ini bebas melakukan tindakan mengikut kehendaknya walaupun ada risiko yang perlu ditanggungnya. Kelayakan ini diberikan pada peringkat baligh dan rushd. (Ali Hasbullah 1964 : 357)
Rushd di sini membawa maksud golongan yang cukup syarat ahliyyat al-ada’ al-kamilah, iaitu telah mencapai tahap baligh dan berakal. Bermakna, seseorang itu dapat bertindak untuk memutuskan sesuatu keputusan sendiri dan mampu berfikir. Ini adalah manusia normal yang dewasa. Orang gila yang telah dewasa atau baligh tidak termasuk dalam kategori ahliyyat al-ada’ al-kamilah tetapi ia termasuk dalam kategori ahliyyat al-ada’ al-naqisah, iaitu sama dengan kanak-kanak yang mumayyiz. (Anon : 12)
Ahliyyat al-ada’ juga, kita boleh kategorikan sebagai fasa ke-3 iaitu mencapai usia dewasa dengan keadaan berakal. Pada masa ini, seseorang dikenakan taklif, dengan itu ia wajib menunaikan solat, puasa dan lain-lainnya. Manakala, segala perbuatannya juga akan disabitkan hukum, seperti, apabila dia membunuh, dia akan dikenakan hukuman qisas, apabila berzina akan dikenakan hukuman hudud dan seterusnya. (Ibid)
Peringkat Ahliyyat al-Ada’ Bagi Manusia
Manusia apabila dihubungkan dengan ahliyyat al-ada’ dapat dibahagikan dalam tiga keadaan iaitu:
a. Peringkat Kanak-kanak Belum Mumayyiz
Dalam hal ini, ia tidak mempunyai keahlian melaksanakan atau kehilangan hak untuk melaksanakan. Anak-anak pada peringkat ini tidak dibebani hukum kerana tidak mempunyai akal lagi dan semua percakapan dan perbuatannya tidak dikenakan tindakan syarak. Oleh itu, semua ikatan perjanjian dianggap batal. Jika seorang anak itu melakukan jenayah terhadap jiwa atau harta milik orang lain, maka hukum yang dikenakan adalah hartanya bukan fizikalnya. Jadi apabila ia melakukan jenayah membunuh atau merosakkan harta orang lain, maka dikenakan hukuman berbentuk denda atas perbuatannya sama ada bunuh atau merosakkan harta tersebut. Peringkat kelayakan ini adalah ahliyyat al-wujub al-kamilah. (A.Hanafi 1971 : 236)
b. Peringkat Mumayyiz
Dalam peringkat ini, kanak-kanak tersebut dapat memahami percakapan dan membalasnya, dapat memahami secara umum maksud akad jual beli dan tahu membezakan antara baik dan buruk. Antara kemanfaatan dan kemudaratan yang boleh berlaku ialah ia boleh menerima hibah atau sedekah dan akad ini boleh dilaksanakan secara bersendirian tanpa perlu keizinan wali sekiranya ia mendatangkan manfaat atau tiada risiko kepadanya. Yang kedua ialah akad yang perlukan keizinan wali apabila ada risiko atau kebaikan dan kemudaratan sama banyak seperti jual beli. Yang ketiga akad yang tidak boleh dilaksanakan walaupun dengan keizinan wali sekiranya ia hanya boleh membawa kemudaratan seperti mendermakan hartanya atau menceraikan isterinya. Peringkat kelayakan ini adalah ahliyyat al-wujub al-kamilah dan ahliyyat al-ada’ al-naqisah. (Ibid)
c. Peringkat Usia Dewasa
Pada peringkat ini, kelayakan untuk menunaikan tanggungjawab syarak sudah sempurna. Ianya meliputi ibadat seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan ibadat wajib lain. Ianya adalah wajib dan perbuatan meninggalkannya adalah berdosa. Peringkat kelayakan ini adalah ahliyyat al-wujub al-kamilah dan ahliyyat al-ada’ al-kamilah. (Ibid : 237)
HALANGAN ATAS KEMAMPUAN
Tidak dinafikan, apabila seseorang telah sempurna kemampuannya, kadangkala berlaku juga halangan-halangan yang mengurangi atau menghilangkan kemampuannya. Hal ini disebut dengan halangan kemampuan (‘awarid ahliyyah). Halangan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertama, halangan yang berlaku di luar kemampuan manusia seperti gila. Kedua, halangan yang berlaku disebabkan oleh perbuatan manusia itu sendiri seperti tidak tahu (jahil). (Muhammad Abu Zahrah 1994 : 514)
‘Awaridh Samawiyyah
Awaridh Samawiyyah : halangan datangnya daripada Allah atau ketentuan syarak, bukan disebabkan perbuatan manusia (semula jadi). Antaranya : (Anon : 13)
1- Kanak-kanak; belum mumayyiz dan mumayyiz
2- Gila; hilang akal atau rosak akal. Sama ada gila berterusan atau gila terputus-putus.
3- Dungu / atah; gangguan akal, hilang keupayaan menilai dan menimbang sesuatu, (sukar untuk memahami sesuatu).
4- Nyanyuk; akal terganggu seketika, menyebabkan terlupa (tidak ingat)
5- Tidur dan pengsan
6- Marad al-maut; sakit yang tiada harapan untuk sembuh dan berkesudahan mati
7- Mati
1) Gila
Gila adalah hilang akal, rosak atau kecacatan akal. Ini menghalang dari segala percakapan atau perbuatan yang melalui akal, melainkan jarang-jarang ianya berlaku. Gila atau hilang akal ini, terbahagi kepada dua bahagian; gila disebabkan asal atau azali, dan gila kerana yang mendatang. (Abdul Karim Zaidan 2006: 79)
Gila yang disebabkan asal atau azali iaitu; lahirnya seseorang itu dalam keadaan gila. Gila dari segi mendatang pula ialah lahirnya seseorang itu dalam keadaan sempurna, baligh dan berakal, kemudian gila, sama ada lama atau sekejap. Gila yang lama iaitu yang menyebabkan meninggalkan satu-satu waktu solat, gila sekejap pula sebaliknya. Kedua-dua keadaan ini tidak menghilangkan ahliyyat al-wujub kerana masih ada nyawa. Namun tidak ada ahliyyat al-ada’ maka segala perbuatan dan percakapan tidak diambil kira serta perlu ditegah atau dihalang. (Ibid)
Contohnya; berlakunya jual beli sewaktu gila, maka tidak diambil kira. Bagi yang gila sekejap, segala perbuatannya dan percakapannya pada waktu itu tidak diambil kira tetapi perbuatan dan percakapan itu akan diambil kira apabila dia sudah tidak gila atau sudah sedar dari gila itu. (Ibid)
2) Dungu (atah)
Dungu / atah, ialah gangguan akal, hilang keupayaan, menilai dan menimbang sesuatu atau dalam memahami sesuatu. Dungu atau atah, mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama menyatakan bahawa orang yang dungu atau atah langsung tidak dinilai atau ditimbang kerana, hukumnya sama dengan orang yang gila, hanya hilang ahliyyah al-ada’ tetapi ahliyyah al-wujub masih ada kerana masih bernyawa. (Nasrun Haroen 1996 : 312- 313)
Bahagian yang kedua; orang dungu atau atah masih ada ahliyyah al-ada’ tetapi tidak sama dengan orang yang sempurna akalnya. Bagi seseorang yang dungu atau atah masih mempunyai ahliyyah al-ada’, cuma tidak sempurna. Manakala ahliyyah al-wujub bagi orang dungu atau atah adalah sempurna. (Ibid)
3) Nyanyuk
Nyanyuk adalah disebabkan gangguan pada akal seketika, yang menyebabkan terlupa (tidak ingat). Nyanyuk adalah halangan yang mendatang, bukan yang asal. Keadaaan ini yang menyebabkan seseorang itu tidak ingat dan lupa. Ahliyyat al-wujud masih ada dan ahliyyat al-ada’ juga ada kerana keupayaannya kekal dan akalnya juga sempurna, cuma ia berlaku seketika. (Abdul Karim Zaidan 2006: 81- 82)
Contohnya; jika seseorang yang nyanyuk itu mengambil harta orang lain secara lupa, maka wajib ke atasnya ganti, ini kerana hak Allah tetapi tidak berdosa baginya. Ini hanya hukuman dunia tetapi tidak melibatkan ibadahnya. (Ibid)
4) Tidur dan pengsan
Tidur dan pengsan ini, menafikan ahliyyat al-ada’ tetapi ahliyyat al-wujub masih kekal, kerana percakapannya tidak berdasarkan akal dan tidak membuat pertimbangan, jika dalam keadaan ini, percakapan dan perbuatan tidak dikira walaupun dari segi fizikal. (Abdul Karim Zaidan 2006: 82)
Contohnya; jika dalam keadaan ini dia terjatuh ke atas seseorang maka menyebabkan kematian, maka dia tidak dikenakan qisas tetapi diambil kira dari sudut harta, maka wajib ke atasnya membayar diyat (denda). (Ibid)
Manakala, dari segi ibadat tidak dipertanggungjawabkan dalam keadaan tidur dan pengsan melainkan setelah sedar. Jika di luar waktu ibadat itu wajib ke atasnya menggantikannya selagi ada kemampuan. (Ibid)
5) Marad al-maut
Marad al-maut ialah sakit yang tiada harapan untuk sembuh dan berkesudahan mati. Dalam keadaan ini ahliyyatnya sempurna, sama ada ahliyyat al-wujub atau ahliyyat al-ada’, tetapi tindakannya disekat. Warisnya perlu menguruskan hartanya, serta mengawal segala tindakannya, serta menjaga hartanya sebagai amanah. (Ibid : 83)
6) Mati
Mati adalah hilangnya nyawa seseorang manusia dari jasadnya, hilang ahliyyat al-ada’. Ahliyyat al-ada’ adalah berdasarkan ikhtiar atau usaha dan memerlukan tenaga, maka orang yang mati tidak ada lagi kekuatan atau tenaga padanya. (Ibid : 85)
Terdapat beberapa pandangan:
Pandangan al-Hanafi: gugurnya perintah mengeluarkan zakat itu ke atas orang yang telah mati, ini kerana segala perbuatan mukallaf, bermaksud hak Allah, maka berakhirnya dengan kematian. (Ibid)
Pandanganan al-Syafi’i: tidak gugurnya perintah zakat dengan kematian, ini kerana harta yang dimaksudkan dengan zakat adalah bukan perbuatan mukallaf. Ini menunjukkan bahawa wajib membayar zakat melalui harta. Di sini menunjukkan bahawa ahliyyat al-ada’ tidak gugur. (Ibid)
Tidak terdapat perselisihan di antara para fuqahat tentang ahliyyat al-wujub ke atas orang yang mati, kerana asas ahliyyat al-awujub adalah bernyawa. (Ibid)
‘Awarid Muktasabah
1) Al – Jahl
Hukum Islam yang ditetapkan dalam al-Quran, sunnah, mahupun ijmak tidak memberikan peluang kepada seseorang untuk melanggar atau meninggalkannya dengan alasan tidak tahu (al-jahl). Maksudnya, ketidaktahuan itu tidak boleh dijadikan alasan bagi seseorang yang tinggal dalam lingkungan masyarakat Islam. (Muhammad Abu Zahrah, 1994 : 523)
Mengetahui hukum demikian, menurut Imam Syafie, disebut sebagai “sesuatu yang umum yang tidak memberi peluang kepada seseorang untuk tidak mengetahuinya” (al-‘ammah la yasa’ ahadan an yajhalah). (Ibid : 524). Muhammad Abu Zahrah (1994 : 524) menukilkan dari dalam al-Risalah Imam Syafie dengan mengatakan :
“Ilmu ada dua bentuk. Pertama : Ilmu yang umum iaitu setiap orang yang berakal tidak mungkin tidak mengetahuinya. Seperti, wajibnya solat lima waktu, puasa Ramadhan, haji bagi yang mampu, zakat, haramnya membunuh, haram zina, mencuri dan minum minuman yang memabukkan serta lain-lain yang menjadi kewajipan dan larangan atas diri atau harta seseorang. Ilmu seumpama ini telah ditetapkan dalam al-Quran dan telah diketahui secara umum oleh semua umat Islam melalui berita yang selalu disebarkan dari satu generasi ke generasi seterusnya sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi dengan tidak ada pertentangan tentang isi dan riwayatnya. Pengetahuan seumpama ini tidak mungkin salah, baik dari segi riwayat mahupun penafsirannya kerana diambil dari dalil yang jelas dalam al-Quran dan Sunnah Mutawatir yang telah disepakati hukumnya oleh umat Islam.
Manakala ilmu yang kedua, adalah ilmu khusus, iaitu ilmu yang menerangkan perincian dari pelbagai hukum yang tidak ada dalilnya yang sahih dalam al-Quran, Sunnah ataupun ijmak ulama. Ilmu seumpama ini dikhususkan untuk para ahli fiqh yang menguasai kajian-kajian masalah fiqhiyah secara mendalam. Ini merupakan tingkatan yang tinggi yang diperbolehkan oleh orang awam untuk tidak mengetahuinya.
2) Tersilap (al-Khata’)
Rasulullah s.a.w telah bersabda maksudnya :
"رفع عن أمتى الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه"
“Dihilangkan (dosa) daripada umatku dengan sebab tersilap, lupa dan yang terpaksa”.
Berdasarkan hadith tersebut, jelaslah bahawa tersilap merupakan suatu perbuatan yang dimaafkan dan halangan ke atas kemampuan seseorang. Para ulama bersepakat bahawa tersilap itu boleh menghilangkan daripada dosa akhirat. Hal ini juga dinyatakan oleh Allah s.w.t yang berfirman di dalam al-Quran dan menjadi doa orang-orang bertaqwa. Maksudnya :
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menyiksa kami bila kami lupa atau tersilap”. (al-Baqarah 2 : 286)
Tersilap ialah berlakunya sesuatu perbuatan atau perkataan yang tidak disengajakan dan tidak seperti yang dikehendaki oleh pelakunya. Umpamanya, orang yang berkumur, kemudian air masuk ke dalam kerongkongnya secara tidak sengaja. Sedangkan ketika itu, dia dalam keadaan berpuasa. (Muhammad Abu Zahrah 1994 : 529).
Perbuatan yang tidak disengajakan ini juga tidak menafikan kelayakan seseorang sebagai mukallaf kerana akalnya tetap berfungsi. Juga boleh dijadikan alasan untuk gugurkan hak-hak Allah. Seperti tersilapnya fatwa seseorang mufti, tidak sengaja salah dalam menentukan arah kiblat dan juga yang berkaitan dengan hukum hudud seperti had zina. (Abdul Karim Zaidan 2006 : 89)
Manakala yang berkaitan dengan hak-hak hamba, sekiranya perbuatan tersilap yang melibatkan hak jenayah (denda), seperti qisas. Bagi seseorang yang melakukan perbuatan membunuh secara tidak sengaja, maka dia tidak wajib dikenakan hukuman qisas dan boleh dimaafkan kerana qisas merupakan hukuman semata-mata dan bukan berkaitan kewangan. Tetapi sebaliknya, dia dikenakan bayaran diyat ganti kepada nyawa yang telah hilang.
Dalam hal lain yang melibatkan hak hamba. Iaitu sekiranya seseorang yang melakukan kerosakan ke atas harta orang lain, maka dia wajib membayar ganti rugi sebagai ganti kepada harta yang telah dirosakkannya.
Seterusnya, perbuatan yang juga melibatkan hak hamba dalam muamalat. Tidak boleh diterima alasan ketidaksengajaan seseorang pelaku daripada berlakunya sesuatu tindakan. Hal ini adalah menurut sebahagian pendapat ulama termasuklah Hanafiah. Sekiranya tersilap talak, maka dikira talak tersebut berlaku dan gugurlah talak. (Ibid : 89-90)
3) Mabuk
Mabuk ialah keadaan akal yang tidak lagi berfungsi waras dengan sebab minum arak dan setiap sesuatu yang menyamai arak sehingga ia sedar dan tahu keadaannya yang mabuk. Seseorang yang mabuk bolehlah dibahagikan kepada dua keadaan iaitu pertama, mabuk dengan cara yang harus (mubah) iaitu seseorang yang minum sesuatu yang memabukkan kerana terpaksa, atau dipaksa atau dengan sebab tidak tahu sesuatu itu boleh memabukkan, atau minum ubat dan membuatkannya mabuk atau sebagainya. Hukumnya adalah seperti hukum seseorang yang pengsan. (Ibid : 99-100)
Kedua, mabuknya seseorang dengan pilihannya sendiri. Apakah dia bertanggungjawab secara sempurna atau tidak? Maka dalam hal ini, terdapat dua pendapat di kalangan fuqaha tentang akad dan perbuatannya itu. (Muhammad Abu Zahrah 1994 : 521-522)
1) Pendapat pertama : Orang yang mabuk itu dikenakan hukuman secara sempurna atas perkataan dan perbuatannya. Jadi, akad yang dilakukannya tetap berlaku. Talak yang dilafaznya akan gugur dan dia akan diqisas atau dihukum had apabila dia melakukan perbuatan jenayah yang mewajibkannya dihukum dengan hukuman tersebut. Hal ini merupakan risiko di atas perbuatannya sendiri iaitu mabuk atas kehendaknya sedangkan ia mengetahui kesan dan akibat mabuk.
2) Pendapat kedua : Orang yang mabuk yang tidak sedar akan perkataannya. Maka akad yang dilakukannya adalah tidak sah kerana asas sah akad adalah dengan kerelaan. Begitu juga, dia tidak dikenakan hukuman yang boleh digugurkan kerana adanya unsur syubhat seperti qisas dan had. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"إدرءوا الحدود بالشبهات ما استطعتم"
“Tolaklah had itu dengan kesamaran (syubhat) selama mana kamu mampu”.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, seseorang manusia itu yang dikatakan mukallaf ialah apabila ia mampu memahami dengan akal fikiran waras segala khitab Allah dan segala perbuatannya boleh dihukumi untuk diterima atau ditolak serta mampu menerima bebanan tanggungjawab, kewajipan dan hak-hak ke atasnya dan ke atas orang lain.
BIBLIOGRAFI
1) Muhammad Abu Zahrah. 1994. Usul Fiqih. Cetak ulang. Jakarta: PT Pustaka Firdaus.
2) Ali Hasbullah. 1964. Usul al-Tasyri’ al-Islamiy. Cetakan ke-3. Mesir: Dar al-Ma’arif.
3) Hasan Hj. Ahmad. 2002. Usul Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Hj. Abd. Majid.
4) Abdul Karim Zaidan. 2006. Al-Wajiz Fi Usul Fiqh. Lebanon: Resalah Publisher.
5) Abd. Latif Bin Muda. 1997. Pengantar Usul Fiqh. Kuala Lumpur: Ilham Abati Enterprise.
6) Al-Amidy, Ali Bin Abi Ali. 1967. Al-Ahkam Fi Usul al-Ahkam. Al-Qahirah: Muassasah al-Halabi.
7) Wahbah al-Zuhaili. 1982. Nazaariyat al-Dharurah al-Syar’iyyah Muqaranah Ma’a Qanun al-Wadi’e. Beirut: Muassasah al-Risalah.
8) Fiqh Muamalat Dan Jinayat. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
9) Abdul Aziz Andek Achok. 1976. Ilmu Usul Fiqh: Tingkatan vi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
10) Nasron Haroen. 1996. Usul Fiqh 1. Jakarta: Publishing House.